Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jangan jadikan kemiskinan alasan abai pelajaran

samsuddin

SANDAKAN 19 Ogos – Ibu bapa diingatkan agar tidak menjadikan kemiskinan sebagai alasan mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak dalam mendapatkan pendidikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsudin Yahya berkata, alasan seperti itu hanya akan menjadikan masa depan anak-anak bertambah malap tanpa asas pendidikan yang kukuh.

Beliau juga menjelaskan, pemikiran seperti itu harus dikikis kerana anak-anak mempunyai potensi tersendiri dan boleh berjaya sekiranya aspek pendidikan diberikan keutamaan lebih-lebih lagi mereka yang berada di luar bandar.

“Kita mahu ibu bapa mengambil berat mengenai soal penting seperti ini. Jangan ambil mudah kerana kita tidak tahu sejauh mana kemampuan anak-anak ini boleh dikembangkan.

“Kita di pihak kerajaan mempunyai banyak bantuan yang boleh digunakan bagi memastikan masalah keciciran anak-anak ke sekolah dapat diatasi,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian Bantuan Persekolahan Yayasan Sabah kepada 20 pelajar sekolah di Kampung Tronglit, Sandakan.

Samsudin yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi berkata, beliau mahu semua ketua kampung, ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) serta ahli UMNO bergerak aktif mencari keluarga yang dikategorikan sebagai miskin tegar.

Jelasnya, ia bertujuan memastikan semua masyarakat terutamanya di luar bandar mendapat pembelaan yang berterusan tanpa mengira kaum mahupun fahaman politik.

“Kita perlu sedar bahawa golongan seperti ini memerlukan pembelaan yang sewajarnya. Masyarakat tidak seharusnya mengamalkan tunggu dan lihat tetapi bergerak aktif mencari golongan miskin.

“Pada masa yang sama, kita mahu supaya mereka yang menerima bantuan menjadikan ia sebagai satu pembakar semangat bagi mengeluarkan diri daripada kepompong kemiskinan,” jelasnya lagi.

Komen


Berita Berkaitan