Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jangan Jadi Penonton Perhimpunan Menyalahi Undang-Undang – FRU

FRU

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihat menjauhi sebarang perhimpunan yang menyalahi undang-undang, walaupun sekadar menjadi penonton.

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Datuk Abdul Hamid Mohd Ali berkata apabila berlaku kekecohan, polis terpaksa mengambil tindakan tegas seperti melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikannya dan dalam keadaan itu tidak dapat membezakan antara peserta dengan penonton.

“Tiada faedah menjadi penonton yang akan membahayakan diri. Adalah lebih baik jika orang ramai yang menjadi penonton segera beredar dari lokasi perhimpunan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata apabila kerajaan mewartakan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang berkuat kuasa pada 23 April 2012 untuk memberi hak kepada penganjuran perhimpunan secara aman, istilah perhimpunan haram kini dikenali sebagai ‘Perhimpunan Yang Menyalahi Undang-Undang’.

Beliau berkata akta tersebut yang menggantikan Seksyen 27 Akta Polis memberi hak kepada orang ramai berhimpun secara aman namun ia perlu dilakukan mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan oleh undang-undang negara.

Abdul Hamid berkata jika dahulu Seksyen 27 Akta Polis memberi kuasa penuh kepada polis untuk mengeluarkan permit dan melakukan penguatkuasaan tapi kini berdasarkan Akta Perhimpunan Awam 2012, polis hanya bertindak untuk mengawal keadaan dan sebagai pemudah cara.

“Bagaimanapun polis boleh bertindak dengan mengguna pakai Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah terhadap pihak yang terlibat dengan perhimpunan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata mengikut Akta Perhimpunan Awam 2012, penganjur perhimpunan aman tidak perlu lagi memohon permit untuk mengadakan perhimpunan namun mereka perlu memberi notis kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masing-masing dalam masa 10 hari sebelum mengadakan sebarang bentuk perhimpunan.

“Selepas penganjur perhimpunan menghantar notis kepada IPD, pihak polis akan memberi nasihat agar penganjur mengubah lokasi perhimpunan jika ia mengganggu ketenteraman awam seperti menyusahkan atau mengganggu rutin harian masyarakat setempat,” katanya.

Katanya undang-undang yang dibuat oleh kerajaan tidak bermaksud untuk menyusahkan mana-mana pihak sebaliknya bagi menjaga ketenteraman awam dan juga membela hak orang ramai yang ingin menggunakan hak mereka untuk berkumpul secara aman.

“Masalah dan kekecohan tidak akan timbul selagi pihak yang mengadakan perhimpunan tidak melanggar undang-undang yang telah ditetapkan dan perhimpunan akan berakhir dengan aman,” katanya.

Abdul Hamid berkata polis mengenal pasti beberapa faktor yang mendorong seseorang individu untuk menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang, antaranya ialah mereka tidak dapat menjiwai apa sebenar yang dimaksudkan dengan kebebasan dan hak untuk berhimpun.

“Mereka ini tidak faham bahawa dalam menjalankan hak untuk berhimpun, mengadakan perhimpunan, bahawa mereka tidak boleh mengganggu hak orang lain seperti masyarakat setempat dan orang yang lalu lalang di kawasan tersebut,” katanya.

Abdul Hamid berkata mereka yang terpengaruh dan ingin menjadikan negara barat sebagai kiblat dalam menuntut hak kebebasan perlu sedar bahawa senario di Malaysia adalah berbeza kerana hak perlu ada batasan bagi mengelak berlakunya kekacauan.

“Memang benar Malaysia adalah sebuah negara demokrasi namun kita mempunyai undang-undang begitu juga di negara barat … mereka turut mempunyai undang-undang sendiri bagi menjaga keharmonian negara masing-masing,” katanya. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan