Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

JANGAN HUKUM TERLALU CEPAT, SABAH JANJI AKSI TERBAIK DI SUKU AKHIR NANTI

KOTA KINABALU: Nada kecewa dilontarkan oleh Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating yang tidak menjangkakan kekalahan besar skuad Badak ditangan Pahang 0-4 dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Likas, semalam.

Bagaimanapun, Jelius sebenarnya optimis dengan kemampuan sebenar anak buahnya itu meskipun dihujani dengan kritikan terutama daripada peminat bola sepak negeri ini.

Sambil meminta agar peminat tidak terlalu cepat menjatuhkan `hukuman’ kepada pemainnya atau berasa kecewa dengan kekalahan itu, Jelius menjelaskan dia yakin Sabah akan mempamerkan aksi lebih baik menjelang saingan suku akhir nanti.

Jurulatih bola sepak Sabah, Jelius Ating. Gambar SNT / Ehsan Raymond Henry Gusi

“Kita tidak menjangka kalah sehingga 0-4, tapi sama ada menang atau kalah, keputusan semalam tidak mempengaruhi kedudukan Sabah yang telah pun layak ke suku akhir menentang Kelantan.

“Saya melihat keputusan semalam itu lebih dipengaruhi kepada maruah pasukan untuk mengekalkan rekod tanpa kalah Sabah dalam saingan Piala Malaysia,” katanya kepada Sabah News Today.

Dalam perlawanan itu, dua gol Pahang dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-10 dan 62 manakala dua lagi disumbangkan oleh Patrick Cruz dan Issey Nakajima masing-masing minit ke-78 dan pada separuh masa kecederaan.

Jelius turut menafikan bahawa pemain Sabah yang dipilih untuk bermain menentang Tok Gajah dalam perlawanan itu sekadar beraksi santai kerana kedua-dua pasukan telah layak ke suku akhir.

“Saya sudah beritahu pemain-pemain ini bahawa kita mahu menang tetapi mereka tidak terjemahkan peluang yang saya berikan semalam.

“Saya percaya dengan pemain dan tahap kebolehan mereka, tapi peminat juga perlu faham kita tidak menurunkan kesebelasan utama kerana ada beberapa pemain cedera selain mengelak penggantungan pemain akibat kad kuning ketiga,” katanya.

Tegasnya lagi, ini bukan masa untuknya membuat eksperimen terhadap para pemain, sebaliknya dia harus memikirkan strategi buat Sabah meneruskan langkah lebih jauh dalam Piala Malaysia musim ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan sebagai menyifatkan pada pertemuan peringkat kumpulan D pasukan Sabah menentang Pahang, perlawanan itu bukan aksi sebenar berikutan kedua-kedua pasukan sudah layak ke saingan suku akhir.

“Walaupun Sabah kalah 0-4 kepada Pahang, bagi saya itu bukan kekuatan mereka, jadi saya merasakan suku akhir kami bukan laluan mudah dan perlawanan itu memerlukan kesungguhan serta tekad yang perlu ditunjukkan pemain seperti ketika bertemu Kedah tempoh hari.

“Pemain tidak boleh leka dan dibuai dengan kejayaan layak ke suku akhir, bola sepak sesuatu kerja yang sentiasa bergerak pantas, kita harus terus berlatih,” katanya.

Beliau berkata Kelantan harus bekerja keras apabila bertemu Sabah pada Sabtu ini di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bahru, dengan penampilan pasukan pelawat itu dijangka berbeza berbanding ketika beraksi pada saingan Liga Premier musim ini.

“Jika kita lihat aksi dalam Liga Malaysia, mereka (Sabah) mencatatkan kemenangan empat perlawanan sebelum layak ke suku akhir dan ia satu keputusan yang memaksa kami (Kelantan) berkerja keras untuk menewaskan pasukan itu,” katanya

Beliau yakin Ketua Jurulatih Kelantan Yusri Che Lah akan mengkaji dan meneliti segala aspek untuk bertemu Sabah.

“Pemain perlu mempersiapkan diri dengan memperbaiki kelemahan yang dimiliki bagi memperolehi kemenangan pada perlawanan itu,” katanya.

Pada saingan peringkat kumpulan C, Kelantan berjaya melayakan diri ke peringkat suku akhir selepas menewaskan Kedah 2-0 pada perlawanan terakhir kumpulan itu di Stadium Sultan Muhammad IV Ahad lepas.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan