Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jangan Biarkan Teknologi Hancurkan Manusia

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Di sudut makna ‘teknologi’ adalah apa sahaja yang boleh membantu memperkuat, dan memperkembangkan deria manusia.  Contohnya mikrofon menguatkan dan memanjangkan suara manusia, cermin mata membantu penglihatan, roda dan kereta memudahkan perjalanan dan lain-lain.  Ia (teknologi) boleh merupakan alat atau idea, satu sistem mahupun mekanisme melaksanakan atau memenuhi sesuatu tugasan atau keperluan. Mutakhir ini begitu kerap kita mendapat berita tentang jenayah yang berbagai, yang kalau diperhalusi, sebenarnya dibantu oleh teknologi yang canggih dan terkini.  Satu kes yang boleh dibuat contoh adalah yang melibatkan anak watan yang luar biasa kelebihannya dalam bidang yang dianggap sukar dikuasai iaitu matematik.  Atas sebab-sebab yang mungkin (menurut pakar psikologi) melibatkan pengalaman penderaan seksual zaman kanak-kanaknya, anak watan yang penuh potensi ini telah terdorong atau ketagih untuk menggunakan teknologi ICT untuk menyimpan, mengumpul bahan-bahan (gambar dan video misalnya) dalam jumlah yang tidak kurang daripada 30,000 banyaknya.  Darjah kelucahan bahan-bahan ini menurut polis di London di mana beliau ditahan adalah yang amat teruk yang dikategorikan oleh mereka sebagai ‘gred A’.  Kemudian kita mendengar pula nasib malang dua orang kanak-kanak perempuan (7 dan 3 tahun) yang telah kehilangan ibu bapa dan adik perempuan mereka (7 bulan) akibat dilanggar oleh kereta (teknologi) berkuasa rendah (dan dengan itu ringan dan mudah tidak stabil apabila dipandu laju) dengan kelajuan yang setara dengan kelajuan perlumbaan di Litar F1 misalnya.

Kita juga baru-baru ini turut membaca mengenai dua orang pelajar sekolah tingkatan 2 di sebuah sekolah yang ternama di Melaka menggunakan teknologi telefon bimbit untuk merakamkan aktiviti penggunaan tandas oleh beberapa orang guru (perempuan) mereka dengan mereka menyorokkan diri di siling tandas tersebut.

Satu pengajaran yang boleh kita simpulkan daripada contoh-contoh yang diberi ini ialah, memanfaatkan teknologi yang merupakan nikmat Allah kepada manusia adalah satu perkara yang menuntut penggunanya mempunyai disiplin dan ilmu.  Ilmu melibatkan pemahaman tentang kesan penyalahgunaan teknologi tersebut kepada manusia sementara disiplin memerlukan kita menahan nafsu apabila menggunakan teknologi. Semakin canggih teknologi, semakin besar risiko/bahaya sekiranya ia tersalah atau disalahgunakan.  Kajian sains tentang berbagai penyalahgunaan teknologi misalnya memberitahu kita bahawa ada kesan buruk dan yang merosakkan apabila teknologi digunakan untuk memberi “kepuasan” semata-mata kepada manusia, misalnya.

Dalam contoh teknologi kereta, memandu laju ‘memberikan’ kepada ‘penggemar’ kelajuan, rasa ‘keterujaan’ dan ‘rangsangan’ yang tinggi. Hakikatnya dari segi fizikal dan emosi perlakuan pemanduan laju itu sendiri adalah sesuatu yang ‘merbahaya’.  ‘Bahaya’ mencetuskan hormon adrenalin dalam badan yang meningkatkan aktiviti jantung, paru-paru dan otot.  Ini bermakna fungsi-fungsi lain seperti pencernaan makanan, sistem reproduktif dan aktiviti-aktiviti otak yang mengawal mood, motivasi dan ketakutan akan terganggu.

Sekiranya kerap badan di’rangsang’ secara tiruan begini kesan buruknya termasuklah sakit jantung, kerosakan sistem memori dan konsentrasi, masalah berat badan, kemurungan, dan lain-lain masalah yang serius.  Sistem ‘flight or fight’ melibatkan hormon adrenalin ini adalah satu mekanisme yang fitrah/tabii manusia mempertahankan diri yang dicipta/dijadikan oleh Allah dalam diri manusia apabila ia diancam bahaya. Sekiranya ia disalahgunakan maka kerosakan akan berlaku.  Inilah dosa yang berasal daripada perkataan Sanskrit ‘dhosa’, yang bermaksud kezaliman, kehancuran, kerosakan akibat manusia melanggar peraturan dan undang-undang.  Ada yang mengatakan undang-undang jalanraya (seperti mematuhi had laju) tidak ada dalam Quran.  Benar tetapi Quran dan Hadith membuahkan prinsip Maqasid Syariah iaitu syariah (bersumberkan Quran dan Hadith) bertujuan memelihara iman, nyawa, harta, keturunan dan aqal.  Dengan sengaja memandu laju khususnya di jalanraya awam logik/aqal yang juga telah dibekalkan Allah kepada manusia, memberitahu kita bahawa hampir kesemua prinsip maqasid ini telah pun kita langgar.

(Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), oleh Prof. Datin Dr. Azizan Baharuddin)

Komen


Berita Berkaitan