Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,769

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Jangan Biarkan Laut Sulu Jadi ‘Somalia Baharu’

10:36am 18/11/2016 Pak Roshan 382 views Mutakhir,Nasional

EssCom

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan Laut Sulu Sea tidak boleh dibiarkan menjadi ‘Somalia baharu’.

Menteri Pertahanan itu berkata beliau menyentuh tentang perlunya usaha ditingkatkan bagi mencegah kawasan itu daripada menjadi ‘Somalia baharu’ pada permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-10 di Vientianne, Laos, yang berakhir baru-baru ini.

Inisiatif Trilateral Laut Sulu yang melibatkan rondaan bersama oleh Malaysia, Indonesia dan Filipina adalah antara isu yang dibangkitkan pada permukiman itu.

Memandangkan Laut Sulu terkenal kerana aktiviti pelanunan dan menculik, maka inisiatif itu perlu dilaksanakan bagi mencegah wujud keadaan seperti di Somalia di mana kapal dagang takut untuk belayar di laluan laut negara yang dilanda sengketa itu.

Ketika di sana, Hishammuddin serta rakan sejawatannya dari Indonesian dan Filipina turut mengadakan Mesyuarat Trilateral Peringkat Menteri Keempat mengenai inisiatif itu.

“Perbincangan banyak tertumpu terhadap mengadakan eksesais bersama, rondaan maritim terselaras dan rondan udara bersama yang akan dimulakan tidak lama lagi oleh tiga negara berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin berkata beliau juga menyentuh tentang pertemuan antara Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas dan urusan memuktamadkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pasukan keselamatan Malaysia mengejar penculik sehingga merentasi sempadan marition negara berkenaan.

 Katanya, pada Pemukiman ADMM itu, beliau juga membangkitkan isu berkaitan Daesh, yang terus menjadi ancaman utama dan paling semasa bagi ASEAN, di samping memberi penjelasan tentang bagaimana usaha menentang kumpulan pengganas itu di Mosul, Aleppo dan Raqa mempunyai kesan bercampur.

“Dari satu segi, menyekat kumpulan itu daripada mempunyai wilayah sendiri adalah penting untuk memusnahkan jenamanya, tetapi sebaliknya, langkah itu meningkatkan kemungkinan bahawa rantau lain, termasuk Asia Tenggara, akan menjadi markas baharu bagi rekrut atau sasaran alternatif untuk diserang,” katanya.

Katanya beliau juga menyatakan bahawa perkara itu bukan fenomena baharu kerana Jemaah Islamiyah, kumpulan pengganas di Asia Tenggara yang lahir daripada Al-Qaeda, telah ditubuhkan mulai awal tahun 2000 dengan bantuan mereka yang pulang daripada berjuang dalam konflik di Afghanistan.

Mengenai Mesyuarat Tidak Formal Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Jepun, Hishammuddin berkata beliau bersetuju dengan pendapat Menteri Pertahanan, Jepun Tomomi Inada tentang betapa dunia kini menjadi suatu tempat yang amat berbeza sekarang dan bagaimana ancaman terhadap keselamatan telah berubah secara dramatik.

“Ancaman keganasan semakin tidak bertumpu di sesuatu tempat, sukar untuk dijejaki dan malah lebih sukar untuk dicegah,” katanya sambil menambah bahawa beliau telah meminta Jepun meningkatkan lagi libat sama mereka dengan ASEAN, khususnya dalam Operasi Pengaman (PKO) serta Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR).

Mengenai PKO, beliau mengetengahkan sumbangan penting Jepun kepada Pusat Pengaman Malaysia, khususnya bagi Sokongan Pembinaan Keupayaan untuk peranan Malaysia dalam Latihan Pengaman Pelbagai Dimensi.

Hishammuddin berkata beliau berharap dua perkara itu akan dapat dimajukan lagi serta dibincang untuk diberi pertimbangan dalam Kertas Konsep bagi Kerjasama Pertahanan ASEAN-Jepun.

Menurut beliau, di luar dua mesyuarat itu, kesemua Menteri Pertahanan 10 negara anggota ASEAN melakukan kunjungan hormat terhadap Presiden Laos, Bounnhang Vorachith dan menyaksikan demonstrasi Hubungan Komunikasi Langsung (DCL) antara 10 Menteri Pertahanan dari negara anggota ASEAN.

Ia merupakan cadangan yang pada mulanya disuarakan Sultan of Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah dan kemudian diterima di bawah rangka kerja ADMM.

“Tujuan DCL itu ialah untuk mewujudkan satu kaedah mantap, yang melaluinya, mana-mana dua menteri pertahanan dari negara anggota ASEAN boleh berkomunikasi antara satu dengan lain untuk mencapai keputusan bersama dalam menangani krisis – terutama yang melibatkan maritim – bagi menyelesaikan perselisihan faham, mencegah keadaan daripada menjadi bertambah meruncing dan menambah baik respons segera.

Hishammuddin berkata beliau juga mengadakan mesyuarat dua hala yang amat berjaya dengan rakan sejawatan dari Myanmar, Lt Jen Sein Win dan perbincangan mereka banyak bertumpu pada keadaan di Rakhine, sebuah negeri di Myanmar, serta masyarakat Rohingya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan