Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,683

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Jangan batas bantu insan kurang bernasib baik

4:06pm 22/12/2015 Ann Vivien 19 views Isu Semasa,Tempatan
Samsudin menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim

Samsudin menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim

KOTA KINABALU:  Usaha membantu golongan kurang bernasib baik tidak harus terbatas kepada kaum tertentu sahaja.

Wakil Rakyat Sekong Datuk Samsudin Yahya berkata, terdapat golongan yang kurang bernasib baik daripada kaum lain di negeri ini yang juga perlu dibantu bagi meringankan beban mereka.

“Usaha membantu semua kaum yang kurang bernasib baik adalah perlu dan ia harus dilaksanakan secara berterusan dalam memastikan keperluan mereka ini dapat dipenuhi,’’ katanya.

Beliau berkata demikian semasa meraikan 40 anak-anak yatim dalam Program Yadim-MASwings dengan jamuan tengahari di Jalan Tinusa 1, Batu 7, Sandakan baru-baru lalu.

Anak-anak yatim itu daripada Rumah Anak Yatim Alam Beaufort, Rumah Anak Yatim Bakti Kota Belud dan Rumah Anak Yatim As Sakinah Lokawi.

Program Prihatin in melibatkan tiga buah rumah anak yatim merupakan kerjasama antara Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sabah dengan MASwings.

Beliau berkata, dengan adanya kerajaan Barisan Nasional yang memperjuangkan nasib rakyat, maka banyak bantuan boleh disalurkan sekali gus semua lapisan masyarakat akan menerima manfaat.

‘‘Perjuangan kita (kerajaan) adalah untuk kesenangan dan kemakmuran negara dan bukan semata-mata untuk kepentingan parti politik,’’ ujarnya.

Beliau memberitahu, sumbangan dan keprihatinan yang berterusan sepanjang tahun adalah perlu bagi memastikan keperluan golongan kurang bernasib baik ini dapat dipenuhi.

Tambahnya, kerajaan sentiasa mengambil berat tentang masalah golongan orang yang tidak bernasib baik tidak kira apa jua kaum dan latar belakang sekalipun.

Beliau memberitahu, semua kaum di negeri ini khususnya daerah Sandakan berhak mendapat layanan yang sama dan dibantu bagi meringankan beban mereka.

Apa yang penting, katanya, kerja-kerja amal perlu diterus dan tidak dilupakan agar perhatian khusus boleh diberi kepada golongan yang amat memerlukan.

Mengulas lanjut, Samsudin memberitahu, beliau berharap dapat meneruskan majlis sedemikian pada masa akan datang agar dapat mengeratkan hubungan dengan penduduk setempat.-Sayangsabah

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan