Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jalan Menuju Tuhan (Bahagian 1)

Gambar Hiasan

 

Seorang lelaki muda yang agak berserabut meninjau jauh ke bawah. Dia kelihatan sedang berfikir tentang sesuatu.

“Apa yang tuan sedang lihat?” Seorang budak kecil yang berumur dalam lingkungan 11 tahun tiba-tiba bersuara. Budak lelaki itu cuba menghampiri dan berdiri di sebelah sisi kirinya.

Dia juga cuba meniru aksi lelaki muda tadi. Namun, tiada apa yang dilihatnya di bawah sana.

“Kau tidak akan faham. Ini masalah orang dewasa.”

“Kerana itu aku tidak mahu menjadi dewasa,” jawab budak kecil tadi bersahaja.

“Zaman kecil memang sentiasa seronok. Tidak perlu memikirkan banyak masalah,” balas si lelaki muda. Dia masih mencuba mengakhiri riwayat hidupnya. Namun, dia tidak berani mengambil langkah.

“Teruskan sahaja niat tuan. Penat aku menunggu dari tadi.” Budak kecil memandang lelaki muda itu sambil menguap.

“Hei budak, kau itu siapa!” Marah si lelaki muda.

“Aku ini anak yang tidak diinginkan oleh orang dewasa seperti kamu,” jawabnya lalu tersenyum.

Lelaki muda itu terpana mendengar jawapan daripada si budak kecil. Butir-butir peluh mula menitis dari dahinya. Dia tidak jadi meneruskan niatnya.

“Mengapa kau masih gembira dengan kehidupan ini?”

Budak lelaki tadi tidak menjawab. Dia berlari meninggalkan lelaki muda itu sambil ketawa gembira.

******

“Apa yang adik belajar hari ini?” Tanya si abang. Kelihatan adiknya sungguh seronok hari itu.

“Pelik sungguh menjadi orang dewasa,” jawab si adik.

“Apa yang pelik?” Si abang masih memberikan sepenuh tumpuan pada lukisannya. Pemandangan di sana memukau dirinya. Tangannya bagaikan bergerak sendiri merakam ciptaan terindah daripada Ilahi.

“Orang dewasa suka bermain dengan nyawa.”

“Kita juga akan menjadi dewasa,” balas si abang. Kedengaran suara si abang juga semakin garau. Dia sedang meniti proses alam keremajaan.

Si abang tidak dapat meneruskan kerjanya. Seorang lelaki menghalang pandangannya.

“Maaf tuan, ada apa boleh saya bantu?” Si abang bertanya sopan sedang bahunya pula ditepuk-tepuk perlahan si adik.

“Penat aku mencari. Rupanya kau di sini,” kata lelaki itu sebelum sempat si adik memberitahu abangnya.

“Tuan mencarinya? Apakah kesalahan yang dia telah lakukan?” Tanya si abang ingin kepastian.

“Kau mengenalinya?”

“Ya, dia adik saya.”

Lelaki muda itu mengambil tempat di sebelah sisi kanan si abang. Baju kemeja yang dipakainya dibasahi keringat. Dia kepenatan mencari kelibat si adik sejak dari tadi.

“Adik cepat minta maaf,” arah si abang.

Si adik hanya diam membisu. Ekor matanya sahaja menjeling sosok lelaki muda tadi dari sebalik sisi kiri abangnya.

“Tidak mengapa. Dia tidak bersalah. Aku sahaja ingin mengenalinya,” kata lelaki muda itu dengan riak wajah yang agak serius.

Si abang semakin kehairanan. Kerjanya terbantut di pertengahan jalan. Dia meminta izin untuk duduk di bangku lain kerana lelaki muda itu hanya memerlukan adiknya.

Si adik menarik baju abangnya. Dia menghalang abangnya meninggalkannya bersendirian bersama lelaki itu.

“Minta maaf jika aku menyusahkan. Teruskan sahaja kerja kamu,” kata lelaki muda kepada si abang. Dia mula bangun dan mahu berangkat meninggalkan tempat itu.

“Sekejap tuan. Ada apa-apa perkara yang tuan inginkan daripada kami?” Tanya si abang yang berasa tidak sedap hati.

Lelaki muda itu hanya menggelengkan kepalanya. Kelihatan kekusutan dirinya masih belum terlerai.

“Sudikah tuan bermain dengan kami sebentar sebelum pergi,” pelawa si adik. Abangnya hanya tersenyum membenarkan kata si adik.

“Banyak perkara lain yang boleh aku lakukan lagi selain bermain bersama kamu,” jawabnya sinis.

Si abang dan si adik pula meneruskan kerja mereka. Tiada siapa mempedulikan lelaki tadi. Malas mereka berlawan dengan orang dewasa sepertinya. Mereka juga ada masa yang perlu dihargai.

(Sumber: iluvislam.com oleh Nur Anis Wafda binti Ahmad Asri)

Komen


Berita Berkaitan