Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jadual Feri Ke Nunukan Dan Tarakan Akan Dikemas Kini

feri

TAWAU : Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Feri CIQS Tawau memutuskan jadual operasi feri dari Terminal Feri Tawau ke Nunukan dan Tarakan di Indonesia akan dikemas kini mengikut sistem penggiliran secara undian oleh pengusaha feri pada setiap hari.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Alijus Sipil berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa itu hari ini dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan operasi terminal feri berjalan lancar.

“Ini juga sekali gus bagi menyelesai isu berkaitan ketidakadilan yang dilemparkan pihak-pihak tidak berpuas hati dengan jadual pergerakan feri pada masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Feri CIQS Tawau di sini, hari ini.

Alijus berkata, satu surat akan diserahkan kepada Konsulat Republik Indonesia di Tawau untuk dipanjangkan kepada pihak Kabupaten Nunukan mengenai perkara yang diputuskan dalam mesyuarat itu termasuk penjadualan operasi tersebut mengikut sistem penggiliran.

“Difahamkan di sebelah sana (Indonesia) juga tiada jadual dan berlaku perebutan penumpang tapi apa yang kita minta dan putuskan dalam mesyuarat ini agar pihak sana (Indonesia) akan turut melakukan perkara sama,” katanya lagi.

Di samping itu, antara perkara yang diputuskan dalam mesyuarat itu katanya adalah berkaitan keputusan pengekalan segala cas yang dikenakan di Terminal Feri Tawau.

“Tiada perubahan caj, masih kekal seperti yang diputuskan dalam mesyuarat sebelum ini iaitu dewasa RM15 dan kanak-kanak RM10 seorang serta caj barangan bagi 10 kilogram kekal percuma dan selebihnya RM1.30 per kilo(gram),” katanya lagi.

Alijus berkata caj yang dikenakan itu adalah rasional dan termurah yang dikenakan serta penumpang juga tidak mempunyai masalah untuk membayar caj tersebut.

Sementara itu, katanya mengenai permintaan jualan tiket oleh ejen tidak akan dilayan dan penjualan tiket kekal di kaunter Terminal Feri Tawau bertujuan untuk mengurangkan aktiviti orang tengah yang banyak mengambil kesempatan.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan