Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jadikan Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan Lambang Kejayaan Integrasi Negara – Muhyiddin

kaamatan

KENINGAU:  Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya di Sabah, agar menjadikan sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan sebagai lambang kejayaan dan integrasi rakyat pelbagai kaum negara ini.

Beliau berkata walaupun Malaysia terdiri daripada rakyat pelbagai kaum namun semua kaum dan etnik berkenaan bertuah kerana boleh berkongsi memeriahkan sambutan Tadau Kaamatan yang melambangkan perpaduan dan jatidiri rakyat Malaysia.

“Tidak ada yang mudah untuk kita mencapai kejayaan kecuali dengan bekerja keras dan berusaha bersungguh-sungguh serta memiliki semangat bersatu padu di bawah payung yang sama. Kita 1Malaysia,” kata Muhyiddin dalam teks ucapan sempena perasmian sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan di Keningau, Sabtu malam.

Teks ucapan Muhyiddin dibacakan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Hadir sama Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup; dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Muhyiddin berkata oleh yang demikian rakyat Malaysia pelbagai kaum perlu saling mengenali budaya dan adat antara satu dengan lain serta mengukuhkan toleransi.

Ianya perlu diwariskan kepada generasi akan datang bagi membolehkan masyarakat yang bersatu padu menjunjung cita-cita yang termaktub dalam Rukun Negara.

“Rasa hormat menghormati mesti sentiasa dijaga. Jika kita menghormati budaya orang lain maka budaya dan diri kita akan dihormati kerana ‘budaya itu bangsa’.

Sebagai rakyat negara ini, kita haruslah berkongsi perayaan dan menghormati perayaan kaum-kaum lain demi mengukuhkan semangat perkongsian dan kesepakatan rakyat.

“Maka periharalah semangat ini sebagaimana kita memelihara semangat Kaamatan. Jadikanlah perayaan ini juga sebagai gagasan dan landasan perpaduan kita di negara ini,” katanya.

Muhyiddin menegaskan bahawa perpaduan adalah tonggak kekuatan dan pasak keutuhan yang akan menjamin kejayaan dan kecemerlangan negara.

Katanya, tanpa toleransi, perpaduan dan persefahaman dan saling menghormati di kalangan rakyat, sudah tentu semua pihak tidak akan dapat mengecapi suasana hidup harmoni, rukun dan damai.

Muhyiddin berharap sikap toleransi dan semangat perpaduan yang berterusan terus dipelihara semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan kepercayaan serta latar belakang sosio-ekonomi dan budaya seperti yang terungkap dalam slogan ‘Kita Satu Dalam Kepelbagaian dan Kita Berbagai tetapi Satu’.

Terdahulu, Mohamad Nazri mengumumkan bahawa sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan pada tahun 2015 akan diadakan di daerah Ranau dan akan dimasukan dalam kalendar pelancongan Malaysia pada tahun depan.

Komen


Berita Berkaitan