Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jadikan Koleksi Beg Tangan Mewah Sebagai Pelaburan

handbag

KUALA LUMPUR– Tidak dinafikan beg tangan berjenama mewah dianggap sebagai lambang prestij dan lambang kemampuan si pemakainya.

Bagi yang berkemampuan, menyimpan pelbagai koleksi beg tangan berjenama adalah satu keseronokan.

Manakala bagi mereka yang praktikal, memiliki sebuah beg tangan berjenama juga mungkin dianggap sebagai satu keperluan.

Bagi menjadikan pembelian itu berbaloi, pemilik beg juga perlu tahu cara terbaik untuk menyimpan dan menjaga koleksi mereka agar ia tahan lama dan sentiasa kelihatan baru.

Selain daripada pelbagai aspek yang perlu dipertimbangkan, membuat pembelian yang betul memerlukan pengetahuan tersendiri dan perancangan lebih awal bergantung kepada bajet yang disediakan.

Ramai wanita yang keliru dan rambang mata ketika mencari beg tangan yang sesuai. Apatah lagi jika dibeli secara dalam talian. Pencarian beg yang sempurna tidak hanya bergantung kepada gaya dan trend terkini.

Menurut Eksekutif Kanan Pembelian Produk (Senior Merchandiser) Reebonz (Singapura), Gail Chen ada beberapa faktor lain yang perlu diambil kira ketika membeli-belah beg tangan berjenama. Antaranya ialah warna, fungsi, bahan, tekstur dan faktor lain.

Chen berkongsi sebanyak sepuluh jenis beg tangan berjenama terbaik serta warna yang dijangka akan menguasai dunia fesyen dalam musim bunga/panas 2014.

“Warna teras (Core colour) adalah yang paling penting dalam variasi warna. Kebiasaannya beg yang berwarna neutral boleh digunakan secara berulang-ulang.

“Manakala warna bermusim (Seasonal colours) pula dilihat sebagai warna utama dalam penggayaan musim ini. Kebiasaannya digunakan untuk tempoh enam bulan iaitu sehingga perubahan musim akan datang,” jelas Chen.

Antara warna pilihan yang dikongsi Chen ialah dakwat (terang menyala seakan biru laut), Creme Brulee (kuning air-camel), malam (hampir kelabu hitam), Adobe (perang cahaya dengan bebayang cerah) dan putih.

Manakala untuk warna pilihan musim ini ialah merah jambu pelbagai tona, biru terang, merah menyala dan metalik seperti emas dan perak.

Selain itu, Chen menjelaskan perkara yang menjadi tumpuan utama sewaktu membeli beg tangan berjenama ialah penggunaan perhiasan yang terdapat pada sesebuah beg.

“Perhiasan seperti emas atau perak adalah antara elemen paling dikenali bagi sesebuah beg. Ia akan menyerlahkan reka bentuknya walaupun rekaan beg nampak ringkas. Hiasan yang digunakan bukanlah murah, sebab itulah beg berjenama pereka dengan aksesori seumpama itu mahal nilainya”.

Beliau memberi contoh beg berjenama pereka yang memiliki perhiasan yang terperinci serta rumit.

“Contohnya, tas tangan Valentino dan beg trapez dihiasi dengan Rockstud manakala beg Rocco Alexander Wang pula dihiasi dengan emas, perak atau rose gold stud pada bahagian tertentu”.
Turut berkongsi panduan penjagaan beg kulit, Chen menjelaskan tidak bagus menyimpan beg di tempat yang bersuhu panas atau tertutup kerana beg kulit mewah ‘perlu bernafas’ dan memerlukan udara.

Cara paling mudah untuk membersihkan beg itu adalah dengan menggunakan kain lembap, kain lembut mikrofiber atau pembersih barangan kulit yang khas.

Sekiranya dijaga dengan baik, sesebuah beg tangan berjenama boleh tahan selama-lamanya.

Menariknya selain menjadikan ia sebagai koleksi, pemilik tas tangan berharga ini juga boleh menjadikan koleksi milik mereka sebagai satu pelaburan.

Sebagai satu daripada pilihan popular dalam kalangan peminat barangan mewah di Asia untuk barangan kulit, barangan kemas dan jam tangan, syarikat ini turut menghargai pembeli dengan memperkenalkan perkhidmatan Koleksi Mewah Pra Milik di Reebonz Atelier.

Perkhidmatan berkenaan membolehkan pemilik yang menjadi ahli Reebonz menyerahkan barangan kulit mereka kepada syarikat untuk mencari pemilik baru kepada beg tangan atau dompet mereka.

Pengurus Besar (Malaysia), Tang Siew Wai berkata ia bertujuan meyakinkan ahli bahawa setiap barang yang disenaraikan adalah asli dan terjamin.

“Perkhidmatan ini menyediakan pembeli dengan perlindungan yang mencukupi daripada membeli produk palsu, di samping mewujudkan keyakinan untuk membeli dan menjual barangan mewah vintaj melalui Reebonz”, katanya.

Dengan kaedah itu, ia menjadi saluran kepada penggemar beg berjenama vintaj yang membeli reka bentuk klasik yang tidak lagi boleh didapati di pasaran.

Bagi yang belum mengetahuinya, beg berjenama vintaj memiliki tambah nilai apabila beg itu semakin berusia. Pihaknya membantu mewujudkan pasaran khas yang mempunyai permintaan tinggi untuk pengumpul dan penggemar jenama.

Contohnya, beg vintaj Chanel, Hermes dan Louis Vuitton sering diburui dan pihaknya mampu menawarkan saluran untuk mendapatkan beg yang ingin mereka miliki. Itulah maksud ‘pelaburan beg'”, kata Tang.-BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan