Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Jabatan penjara sasar turunkan kadar residivis kepada 5% menjelang 2020

4:14pm 28/03/2016 Leolerry Lajius 23 views Jenayah,Tempatan
Dato' Zulkifli (tengah) mengambil gambar bersama penerima-penerima sijil dalam majlis tersebut.

Dato’ Zulkifli (tengah) mengambil gambar bersama penerima-penerima sijil dalam majlis tersebut.

KOTA KINABALU: Jabatan Penjara akan menjalin kerjasama dengan pihak Unit Perancang Ekonomi untuk menjalankan kajian bagi merealisasikan sasaran untuk menurunkan kadar residivis daripada 8.7% ketika ini kepada 5% menjelang tahun 2020.

Menurut Komisioner Jeneral Penjara Malaysia Dato’ Sri Haji Zulkifli Bin Omar, kajian akan ditumpukan kepada keberkesanan program pemulihan yang dilaksanakan oleh pihak penjara.

“Hasil keberkesanan program pemulihan yang diberikan kepada penghuni penjara membolehkan kadar residivis dapat dikawal dan berada di paras yang kecil iaitu 8.7% pada tahun lalu berbanding sasaran 9% seperti yang ditetapkan Kementerian Dalam Negeri. ”

“Program-program pemulihan yang efektif dan tersusun yang dilaksanakan sama ada di dalam mahupun di luar tembok penjara serta sokongan semua pihak adalah faktor penting kepada kejayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 dan Penyampaian Pingat Jabatan Penjara Malaysia Zon Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.

Sementara itu mengulas mengenai kesesakan banduan di dalam penjara, beliau berkata bahawa setakat ini kesesakannya tidak begitu besar walaupun kapasiti banduan melebihi kapasiti yang telah ditentukan.

“Kapasiti banduan yang ditentukan adalah berjumlah 52,600 dan setakat ini jumlah banduan yang ditempatkan di penjara seluruh negara adalah 55,600 iaitu melebihi kapasiti yang telah ditentukan di bawah 8%.”

“Walaupun jumlah banduan ini melebihi kapasiti yang ditentukan tetapi jumlah itu masih boleh ditampung dengan perpindahan-perpindahan yang kita lakukan,”katanya. –Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan