Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jabatan kerajaan, IPT perlu bekerjasama laksana R&D

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bersama menteri Kabinet negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan serta para penjawat awam yang hadir dalam Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2015 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. foto Ille Tugimin
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bersama menteri Kabinet negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan serta para penjawat awam yang hadir dalam Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2015 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. foto Ille Tugimin

KOTA KINABALU – Masih banyak potensi dan bidang yang boleh menjana hasil negeri perlu diterokai sepenuhnya daripada hanya bergantung kepada sumber asli sedia ada seperti minyak dan gas.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menjelaskan bahawa jabatan dan agensi berkaitan boleh mengadakan kolaborasi dan memikirkan bagaimana hasil negeri boleh dijana daripada kepelbagaian bio dan akuakultur termasuk mengadakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak berasa selesa dari segi ekonomi dan kewangan supaya tidak alpa dan boros, sebaliknya perlu berhemat dan menguruskan sumber yang ada dengan sebaiknya.

“Sebenarnya kita tidak meramalkan bahawa harga minyak jatuh begitu drastik sekali melebih 50 peratus. Impaknya memang ada, namun negara masih dalam keadaan baik selagi kita amalkan sikap berhemah, jangan membazir.

“Peranan ini sangat penting bagi penjawat awam untuk memastikan mereka melaksana kerja sebaik mungkin. Kerjasama di antara jabatan penting untuk kita memastikan apa juga projek yang dilaksanakan itu perlu mengikut jadual dengan kos yang telah ditetapkan.

“Kalau banyak projek tidak siap mengikut jadual atau mempunyai masalah, maka kosnya akan bertambah, ini yang kita katakan pembaziran. Oleh itu, kita mesti bekerja bersungguh -sungguh dan mengelak pembaziran kerana cara ini kita boleh menjimatkan dana negeri,” katanya ketika menyampaikan amanat dalam Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2015 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Salleh Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Borhan Dolah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Asnimar Sukardi dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman serta ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.

Musa berkata, kerajaan negeri tidak pernah menyekat idea baharu dan kreatif setiap penjawat awam dalam menghasilkan atau memperkenalkan produk nilai tambah (value added product) yang boleh memberi kelebihan kepada kerajaan dan rakyat.

Dalam hal ini, katanya, semua itu memerlukan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan ia boleh lakukan dengan kerjasama pihak jabatan dan institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini.

Mengulas mengenai pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST), beliau meminta Kementerian Kewangan untuk terus memberikan penerangan dan penjelasan kepada rakyat.

Katanya, kementerian berwajib seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mesti turun padang bagi memantau peniaga-peniaga agar mereka tidak sesukati menaikkan harga barang. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan