Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jabatan Hidupan Liar Pasang Perangkap Tangkap Buaya Pembunuh di Sungai Kinabatangan

perangkap buaya

SANDAKAN : Jabatan Hidupan Liar di sini akan memasang perangkap dalam usaha menangkap buaya yang menyambar seorang pekerja ladang di Sungai Kinabatangan berhampiran Kampung Sangau di Kinabatangan, Ahad lepas.

Pegawai Hidupan Liar Kinabatangan Jimli Perijin berkata dua perangkap dawai sepanjang 2.74 meter akan dipasang di tempat sesuai dalam masa terdekat di sungai itu.

Katanya pemantauan oleh anggota jabatan itu di sungai berkenaan mendapati terdapat tiga ekor buaya sering kelihatan berenang dan naik ke tebing sungai untuk berjemur berhampiran lokasi kejadian.

“Buaya berkenaan dianggarkan sepanjang tiga meter dan usaha mengenal pasti buaya yang mengigit mangsa sukar dilakukan disebabkan mayat mangsa ditemui dalam keadaan lengkap anggota badan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Dalam kejadian itu, seorang pekerja ladang kelapa sawit berusia 40 tahun dibaham buaya ketika memancing bersama tiga lagi rakannya dan mayat mangsa ditemui semalam, terapung kira-kira 20 meter dari lokasi mangsa disambar buaya.

Ketika ditemui, mayat mangsa yang merupakan warga Indonesia mengalami luka di bahu hingga lengan kanan serta bahagian dada dipercayai kesan gigitan buaya.

Jimli berkata terdapat empat kes buaya menyerang manusia dilaporkan berlaku di Sungai Kinabatangan sejak 2001, dengan dua mangsa ditemui dan dua lagi tidak ditemui.

Beliau berkata papan tanda amaran mengenai kewujudan buaya telah dipasang di mana-mana kawasan sepanjang Sungai Kinabatangan yang dikenal pasti wujud kehadiran buaya termasuk berhampiran Kampung Sangau.

Katanya pihaknya juga ada menjalankan ceramah mengenai langkah-langkah keselamatan daripada ancaman buaya di kampung-kampung sepanjang sungai Kinabatangan. — BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan