Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,652

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Jabatan Bomba Dan Penyelamat Labuan Punyai Unit Helikopter Tidak Lama Lagi

6:45pm 17/05/2016 Pak Roshan 53 views Mutakhir,Tempatan,WP. Labuan

Bombasss-2_resize

LABUAN : Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan akan mempunyai unit helikopter tidak lama lagi bagi meningkatkan kemampuannya dalam memberi respons kecemasan terhadap sesuatu kejadian di pulau bebas cukai ini.

Pengarahnya, Zainal Madasin, berkata penubuhan unit itu telah diluluskan ibu pejabat jabatan berkenaan dan satu kawasan sesuai untuk menempatkannya, sedang dikenal pasti.

“Kami sedang berbincang dengan Malaysia Airport Berhad (MAB) agar diberi tempat untuk helikopter kami. Kami berharap Anggota Parlimen Labuan dapat membantu kami dalam perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Bomba Sedunia di sini hari ini.

Zainal berkata helikopter berkenaan juga boleh digunakan bagi membantu operasi penerbangan ihsan untuk menghantar pesakit kritikal ke hospital di tanah besar dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) atau memadam kebakaran di kawasan terpencil yang berisiko tinggi.

Sementara itu, beliau berkata tahap kegagalan mematuhi peraturan pencegahan kebakaran mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 dalam kalangan penggiat industri minyak dan gas di sini adalah rendah.

Menurut beliau, berdasarkan statistik pemeriksaan, hanya segelintir didapati tidak mematuhi akta itu dan mereka diberi notis peringatan mengenainya.

“Sektor minyak dan gas diberi keutamaan dalam senarai kami sebagai bidang berisiko tinggi yang memerlukan perhatian. Bidang ini mempunyai risiko kebakaran kerana bahan kimia mudah terbakar yang terdapat di gudang mereka dan oleh itu mereka perlu mematuhi sepenuhnya akta berkenaan atau kami akan ambil tindakan tegas terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata sebarang kerja membuat sambungan terhadap bangunan atau kerja berkaitan minyak dan gas perlu mempunyai pelan bangunan dan mendapat kelulusan daripada jabatan itu.

“Pegawai kami sering melakukan lawatan ke kilang dan gudang. Kami juga mengadakan latihan bersepadu dengan penggiat O&G mengenai pencegahan kebakaran untuk petugas mereka. Secara umumnya, penggiat dalam industri minyak dan gas di sini mematuhi sepenuhnya akta berkenaan,” kata beliau.

Zainal juga berkata pembinaan ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat baharu Labuan di Ranca-ranca berharga RM27 juta berjalan lancar dan setakat ini sudah 20-30 peratus siap.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan