Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

ITU ADALAH CAHAYA DAN BUNYI “BOLIDE”

Grafik menunjukkan perbezaan antara objek dari angkasa lepas yang jatuh ke bumi, antaranya bolide atau fireball.Gambar SNT/Ehsan American Meteor Society

KOTA KINABALU: Cahaya terang melintasi udara disusuli dengan letupan kuat dan gegaran di beberapa kawasan Pantai Barat Sabah kira-kira jam 11.30 malam semalam adalah ”bolide” atau bebola api.

Ahli Astronomi Sabah Stargazers Emma Zulaiha Zulkifli berkata, fenomena yang dilihat dan dirasai oleh netizen itu adalah batu meteor atau bolide mahupun fireball yang cahayanya secerah bulan penuh.

Katanya, bolide menghasilkan bunyi yang kuat kerana kelajuannya lebih laju daripada kelajuan bunyi dan terjadi ‘sonic boom’.

“Kita beruntung kerana sonic boom yg dihasilkan daripada bolide ini tidak sekuat Bolide yang pernah berlaku di Rusia pada 2013 yang mana batu sebesar 20 meter masuk ke dalam atmosfera bumi dan menghasilkan sonic boom sehingga cermin, kaca, malah bahagian bangunan pecah dan roboh.

“Ramai yang bertanya, adakah batu bolide ini akan jatuh di Sabah? Kejadian semalam mungkin menghempap bumi ataupun tidak kerana ia bergantung kepada pembakaran meteor itu sendiri.

“Selepas memasuki atmosfera bumi dan berlaku pergeseran, batu ini terbakar dan menghasilkan cahaya yang terang. Jika saiznya kecil, ia akan habis terbakar di ruang udara bumi dan jatuh sebagai habuk. Tetapi sebaliknya akan berlaku jika ia tidak habis terbakar sebelum jatuh ke permukaan bumi,” katanya ketika dihubungi Sabah News Today di sini hari ini.

Katanya, kejadian seumpama itu tidak boleh jangka seperti fenomena gerhana seumpamanya.

“Namun kita ada institusi yang mencari objek-objek yang berdekatan dengan bumi atau Near-Earth-Object. Tetapi bolide terlalu kecil untuk dilihat tidak seperti objek-objek besar seperti asteroid dan komet yang boleh lagi dikesan dari awal,” jelasnya.

Sementara itu, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melalui Agensi Angkasa Negara (Angkasa) mengesahkan objek yang dilihat oleh penduduk sekitar Pantai Barat Sabah adalah hasil daripada meteor iaitu batuan dari angkasa lepas yang memasuki atmosfera Bumi disebabkan oleh tarikan graviti Bumi.

Melalui satu kenyataan, Angkasa berkata pada kebiasaannya, batuan meteor itu berasal daripada serpihan asteroid yang bersaiz lebih kecil iaitu kurang dari 0.5 meter persegi memasuki ruang atmosfera dengan kelajuan yang tinggi.

“Batuan ini akan bergesel dengan partikel di atmosfera dan akan menghasilkan haba yang menyebabkan ia terbakar dan bercahaya.

“Berdasarkan maklumat orang ramai berkenaan bunyi dentuman yang didengar, ia mungkin disebabkan batuan yang panas tersebut meletup di ruang atmosfera iaitu beberapa saat selepas cahaya meteor tersebut hilang.

“Hasil daripada letupan berkenaan, batuan meteor tersebut akan berkecai menjadi debu atau serpihan kecil yang berkemungkinan akan jatuh ke Bumi,” jelasnya.

Angkasa menegaskan, penduduk di Sabah tidak perlu bimbang dengan fenomena biasa berkenaan kerana 95 peratus meteor akan musnah terbakar di atmosfera Bumi.

Pihak Angkasa juga menyarankan agar orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih melalui media sosial. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan