Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

ISU PERLESENAN UNTUK GOLONGAN MUDA AKAN DISELESAIKAN: LKIM

Muhammad Faiz (kanan) menerima cendera kenangan daripada Mohd. Jamil (tengah). – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan cuba membantu mengatasi isu perlesenan yang menghambat golongan muda untuk menjadi nelayan.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub untuk mencari mekanisma lain bagi memudahkan pendaftaran lesen nelayan kepada golongan muda.

“Industri perikanan negara memerlukan penglibatan golongan muda dan LKIM melihat keperluan golongan ini agar tidak terasing sekaligus tidak membiarkan industri ini dimonopoli oleh warga asing.

“Saya begitu memberi tumpuan kepada program pembangunan belia atau golongan muda. Saya akan pastikan segala kemudahan dalam industri ini diberi kepada golongan belia,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Nelayan Kawasan Tawau di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah LKIM Sabah, Mohd. Jamil Abdullah.

Muhammad Faiz (kanan) bergambar kenangan bersama Ahli Persatuan Nelayan Kawasan Tawau. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) juga perlu memberi peluang kepada golongan muda untuk menjadi Ahli Lembaga bagi membawa suara, idea dan segala permasalahan mewakili belia.

“Kita sedang usahakan biar nelayan ini ada pewaris dan pelapis yang bukan dari orang luar tetapi anak cucu kita, sebab itu kita kini sedang merangka program pembangunan belia yang berminat menjadi nelayan. 

“Kebanjiran warga asing pada masa kini semakin membimbangkan sehingga golongan belia semakin terasing dalam industri perikanan di laut,” katanya sambil menekankan pentingnya pendidikan anak-anak nelayan agar lebih berdaya saing.

Jelasnya statistik menunjukkan 10 peratus golongan nelayan tidak berpendidikan sempurna dan kerajaan pastinya tidak mahu senario ini terus berlaku, justeru elemen pendidikan sangat penting dalam memastikan kemajuan sektor perikanan.

Muhammad Faiz berkata nelayan bukan sahaja perlu dipacu melalui kemantapan ekonomi mereka tetapi lebih penting pembangunan modal insan dan sahsiah diri.

“Industi perikanan kita jauh ketinggalan, oleh itu kita perlu lahirkan waris nelayan yang berpendidikan untuk memajukan industri ini dan nelayan dianggap satu profesion yang penting,” jelasnya. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan