Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Isu keselamatan Sabah mesti dijadikan isu agenda nasional – Jahid

isu keselamatan sabah

TAMPARULI: Isu keselamatan di Sabah mestilah dijadikan satu isu agenda nasional oleh Putrajaya.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata isu keselamatan tidak seharusnya tertumpu kepada Sabah semata-mata, tetapi Putrajaya seharusnya menjadikannya sebagai isu keselamatan nasional.

“Kita tidak mahu keselamatan di sini dilihat secara terpisah, tetapi dilihat dari segi nasional supaya pihak Putrajaya akan melihat seluruh tindakan untuk menyelesaikan perkara ini dari sudut nasional.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Parti Bersatu Sabah (PBS) Cawangan Kampung Bontoi, sini pada Ahad.

Katanya, sebenarnya apa yang berlaku kepada Sabah pada hari ini juga telah pun dibayangkan oleh Presiden PBS sendiri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan semasa penubuhan parti itu pada tahun 1984 yang mana pada ketika itu PBS menjadi pembangkang di Sabah.

“Apabila beliau menubuhkan PBS ketika menentang kerajaan pada waktu itu, beliau telah membayangkan sekiranya perkara-perkara dulu tidak ditangani segera, maka semua yang akan terjadi pada waktu ini akan terjadi.

Katanya, semuanya disebut setiap tahun sejak 1985, iaitu mengenai penculikan, mengenai IC, mengenai serangan, mengenai pengganas, disebut secara jelas termasuk ketakutan, atau keraguan mengenai perkara-perkara yang akan berlaku kelak.

“Tetapi kita tidak lagi boleh toleh ke belakang, malah seharusnya mengucapkan terima kasih kepada pemimpin tertinggi kita, terutamanya Perdana Menteri kerana telah mendengar suara kita dengan penubuhan langkah keselamatan di sini seperti RCI, Esscom dan Esszone walaupun menerima pelbagai kritikan, halangan dan sebagainya oleh pihak-pihak tertentu.

Menurut Jahid, sekiranya langkah keselamatan itu tidak dibuat sudah pasti lebih banyak lagi masalah lain yang akan timbul di mana-mana sempadan di Sabah.

“Baharu sahaja usaha-usaha untuk mengembangkan dan menambah baik langkah keselamatan ini, timbul pula masalah serangan dan penculikan, sehinggakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sendiri telah membuat satu pembentangan khas mengenai isu keselamatan di Pantai Timur.

“Itulah sebabnya, jika barisan kepimpinan parti kita juga mempunyai suara yang kuat, maka segala luahan kita pasti akan didengar oleh Putrajaya,” katanya.

“Justeru, kita mengharapkan agar tidak ada lagi khabar angin, dan berita-berita yang kurang sahih disebar melalui laman sosial seperti Facebook, Whatsapp dan sebagainya sebagai usaha membantu pihak keselamatan agar dapat menjalankan tugas mereka dengan baik.

Turut hadir Timbalan Ketua Bahagian PBS Tamparuli, Madin Anak, Ketua Wanita PBS Bahagian, Datin Malianah Ugau, Ketua Pemuda, Romeo Sindeh dan Setiusaha PBS Bahagian, Jilias Lintar.

Komen


Berita Berkaitan