Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Istiqamah Kekalkan Momentum Tarbiah Ramadhan

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Sambutan hari raya merupakan anugerah Allah yang amat besar kepada umat Islam lantaran telah melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Hal ini telah dinukilkan di dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur” (Surah al-Baqarah, ayat 185).

Eidul Fitri adalah hari untuk umat Islam bersuka ria dan menzahirkan kegembiraan. Ia membawa makna kembali kepada fitrah (yakni bersih) dan yang bersih itu adalah hati yang sudah dididik melalui tarbiah (pendidikan) Ramadan. Justeru, matlamat kita berhari raya adalah bagi meraikan kejayaan kita berpuasa di bulan Ramadan dan dalam masa yang sama berusaha mengekalkan momentum tarbiah Ramadan yang tujuan utamanya ialah menjadi insan yang bertakwa kepada Allah SWT.

Justeru, sambutan hari raya yang menginjak 4 Syawal pada hari ini seharusnya terus menjadi suatu kesinambungan rahmat dengan menjaga adab (tingkah laku dan tutur kata) terutamanya ketika tetamu berkunjung ke rumah kita dan juga semasa menziarahi sanak saudara dan juga sahabat handai. Sambutan Eidul Fitri seusai berakhirnya madrasah Ramadan seharusnya menjadi suatu lambang kejayaan mendidik jiwa manusia mencapai martabat takwa sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa (Surah al-Baqarah, ayat 183).

Anugerah takwa yang diraih melalui tarbiah Ramadan seharusnya menjadi pembimbing kepada umat Islam dalam mengekalkan momentum Ramadan bagi menempuhi kehidupan sepanjang hayat sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar (Surah al-Anfal, ayat 29).

Oleh yang demikian, umat Islam diwajibkan menyambut Eidul Fitri dalam kerangka takwa mengikut panduan Islam. Sebarang sambutan yang boleh merosakkan amalan baik yang sudah dikerjakan sepanjang bulan Ramadan seharusnya dihindari agar momentum Ramadan terus dapat dikekalkan bukan sahaja sepanjang bulan Syawal, tetapi juga pada bulan-bulan yang berikutnya.

Jika sepanjang Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadhan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam hari raya sahaja, sebaliknya apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan.

Selain itu, antara amalan lain mengikut sunnah yang disarankan selepas bulan Ramadan adalah mengerjakan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun” (Hadis riwayat Muslim). Daripada hadis ini, ia memberi gambaran jelas kepada kita tentang keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Kiraan setahun yang dinyatakan dalam hadis tersebut adalah setelah mengambil kira 30 hari berpuasa dalam bulan Ramadan. Ini berdasarkan kepada setiap amalan soleh akan digandakan sepuluh pahala oleh Allah SWT. Oleh itu, tiga puluh hari Ramadan ditambah enam hari dan digandakan dengan sepuluh akan menghasilkan 360 hari iaitu jumlah hari dalam satu tahun. Hadis ini menjadi penguat bahawa Syawal yang datang menjadi pelengkap kepada penyempurnaan Ramadan yang sebelumnya kita lakukan dalam usaha meraih keredhaan dan mencapai ketakwaan kepada Allah SWT.

Begitu juga dengan amalan membaca al-Quran. Jika sepanjang bulan Ramadan amalan ini begitu subur sama ada membaca secara berseorangan mahupun secara tadarus di surau atau masjid, bagaimana pula selepas 1 Syawal? Adakah amalan ini terus ditinggalkan atau sebaliknya? Sedangkan, ia sewajarnya diteruskan dan dipertingkatkan dengan meneliti tafsir ayat-ayat yang dibaca atau menghafalnya, khususnya pada surah-surah atau ayat-ayat yang tertentu. Sementelah, al-Quran merupakan mukjizat Allah SWT. Walaupun mungkin kita tidak memahami isi kandungannya, namun kita tetap tidak akan jemu membacanya. Malahan, dengan membacanya akan membawa perubahan kepada diri kita baik secara luaran mahupun dalaman tanpa kita sedari.

Selain amalan membaca al-Quran, amalan bersedekah juga merupakan amalan yang menjadi budaya pada bulan Ramadan. Persoalannya, adakah amalan ini juga terhenti setelah berakhirnya Ramadan? Alangkah malangnya jika berlaku sedemikian kerana Allah SWT meletakkan amalan ‘infaq’ atau sedekah sebagai salah satu daripada ciri-ciri seorang Muslim. Justeru, ia sewajarnya diteruskan pada bulan-bulan lain mengikut kemampuan kita. Lebih-lebih lagi umat Islam dianjurkan bersedekah dan Allah SWT amat membenci sifat bakhil. Bahkan harta kita setelah meninggal dunia adalah hasil daripada amalan sedekah jariah yang kita lakukan semasa hayat yang dapat memberi manfaat kepada kita kelak.

Oleh yang demikian, bulan Syawal seharusnya menjadi medan penerus kepada maqasid puasa dan juga ibadah-ibadah serta amalan-amalan lain dalam bulan Ramadan. Dalam konteks ini, umat Islam sewajarnya meneruskan kesinambungan Syawal dalam keadaan tunduk, patuh, penuh keinsafan, dan bertakwa kepada Allah SWT. Ia merupakan sebahagian daripada amalan yang disunahkan selepas berakhirnya Ramadan menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam.

 

(Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), oleh Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin)

Komen


Berita Berkaitan