Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Istiadat Perbarisan Sambutan Harijadi Rasmi TYT ke-65 meriah

Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menaiki kenderaan khas untuk memeriksa kontinjen perbarisan yang menyertai Istiadat Perbarisan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Negeri Sabah Ke-65 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kira-kira 5,000 orang terdiri daripada 74 kontinjen perbarisan, pengunjung serta tetamu jemputan hadir bagi memeriahkan sambutan Istiadat Perbarisan Hari Jadi Rasmi Ke-65 Yang Dipertua Negeri Sabah di Padang Merdeka, pagi tadi.

Perbarisan melibatkan penyertaan kontinjen pasukan keselamatan termasuk polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sektor awam, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar.

Tun Juhar Mahiruddin disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diringi bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong bagi menghadiri Istiadat Perbarisan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Negeri Sabah Ke-65 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Acara bermula sejurus ketibaan tetamu khas, Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni yang disambut oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib serta menteri kabinet kerajaan negeri dan persekutuan.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Syed Abbas Syed Ali bersama isteri serta dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Hari Jadi Rasmi Ke-65 dan Datuk Christina Liew.

Tun Juhar Mahiruddin memeriksa barisan Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Perbarisan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Negeri Sabah Ke-65 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Terdahulu, Juhar menerima Tabik Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormatan Utama Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Kem Kabota, Tawau, disusuli dengan nyanyian lagu Kebangsaan dan lagu Negeri Sabah serta tembakan meriam sebanyak 17 das.

Yang DiPertua Negeri Sabah menerima tabik hormat daripada Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Perbarisan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Negeri Sabah Ke-65 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Yang Dipertua Negeri kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dan perbarisan kontinjen yang mengambil bahagian pada istiadat kali ini.

Persembahan Kawad Senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari KD Sri Tawau turut diadakan bersama dengan kawad formasi dari Jabatan Penguatkuasaan DBKK.

 

Selesai acara rasmi, beliau dan isteri berangkat meninggalkan majlis.

Selepas acara istiadat perbarisan, berlangsung Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran di Istana Negeri dan diakhiri Majlis Makan Malam di Dewan Bankuasi Dewan Undangan Negeri Sabah, malam ini.

Bersempena dengan sambutan Harijadi Rasmi beliau, Yang Dipertua Negeri juga telah perkenan untuk menyertai acara Berbasikal Bersama Yang Dipertua pada esok di Taman Awam Teluk Likas.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong menyambut Yang DiPertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menghadiri Istiadat Perbarisan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Negeri Sabah Ke-65 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Aktiviti lain termasuk Kejohanan Golf Kenamaan di Tuaran pada 27 Oktober nanti serta pameran Dirgahayu Yang Dipertua Negeri Sabah pada 30 Oktober di Muzium Sabah. -SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan