Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Isteri Tertuduh Kes Pencerobohan Lahad Datu Mungkin Tidak Tinggalkan Malaysia – Saksi

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

KOTA KINABALU, 11 Feb (Bernama) — Mahkamah Tinggi di sini, Rabu, diberitahu bahawa isteri seorang tertuduh dalam kes pencerohohan Lahad Datu, yang ditangkap bersama-sama suaminya kira-kira dua tahun lepas, berkemungkinan tidak meninggalkan Malaysia.

Pemangku ASP Mohammad Khairani Khalid, yang bertugas dengan Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman ketika beliau menangkap Datu Amir Bahar Hushin Kiram, berkata beliau tidak tahu perkara yang berlaku kepada Gina Teves kerana wanita itu tidak dibabitkan dengan kes berkenaan walaupun ditangkap dengan suaminya.

Pasangan itu ditangkap pada 23 Mac 2013 di satu kawasan paya dan belukar di Kampung Sri Melor, Semporna.

Semasa sesi soal balas, peguam Datuk N. Sivananthan bertanya kepada saksi itu sama ada beliau tahu Teves masih ditahan polis atau ditahan mana-mana pihak berkuasa Malaysia memandangkan tiada pengesahan bahawa wanita itu masuk semula ke Filipina atau pernah menghubungi keluarganya sejak dia ditangkap.

“Saya tak tahu,” jawab saksi itu.

Mohammad Khairani, yang kini bertugas sebagai pegawai pengiring dan keselamatan Yang di-Pertuan Agong, memberi keterangan dalam perbicaraan 30 individu termasuk Datu Amir Bahar, yang dikaitkan dengan pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Sivananthan: Adakah kamu tahu bahawa pihak berkuasa Imigresen tidak mempunyai rekod mengenai penghantaran pulang Gina Teves, yang sepatutnya dilakukan terhadap seseorang yang telah ditangkap?

Mohammad Khairani: Saya tak tahu.

Sivananthan: Adakah kamu tahu bahawa sejak Gina Teves ditangkap, dia tidak pernah menghubungi dua anak lelakinya?

Mohammad Khairani: Saya tak tahu.

“Adakah kamu bersetuju dengan saya bahawa kerana beberapa sebab, Gina Teves dihalang daripada menghubungi keluarganya, terutama dua anak lelakinya, dan itu merupakan tindakan yang amat kejam oleh sesiapa sahaja yang menahan mereka (dua anak lelaki wanita itu)?” tanya Sivananthan dan dijawab “tidak tahu’ oleh saksi itu.

Mohammad Khairani bersetuju dengan peguam itu bahawa beliau tidak ditunjukkan sebarang dokumen di mahkamah bahawa Teves telah dihantar pulang ke negara asalnya.

Menjawab soalan Sivananthan, saksi itu berkata beliau tidak ingat sama ada ACP Hazani Ghazali, pegawai memerintah dalam operasi untuk menjejaki dan menangkap suspek berkaitan pencerobohan itu, menyatakan dalam taklimat operasinya bahawa Datu Amir Bahar membantu polis untuk berunding dengan penceroboh di Kampung Tanduo.

Sejumlah 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan menghadapi satu hingga beberapa pertuduhan menjadi anggota satu kumpulan pengganas, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, mencari orang untuk menganggotai kumpulan pengganas atau dengan sukarela melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah, bersambung Khamis.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan