Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

ISRAEL UMUM GENCATAN SENJATA

israel gencatan senjata

BAITULMAQDIS: Israel semalam mengumumkan untuk menghentikan serangan di Gaza selama tujuh jam susulan kemarahan masyarakat dunia terhadap pengeboman ke atas sebuah sekolah milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di wilayah Palestin. Bagaimanapun beberapa minit sebelumnya, satu serangan udara menyasarkan sebuah kem pelarian di Bandaraya Gaza menyebabkan seorang kanak-kanak terbunuh manakala 30 yang lain cedera, kata kumpulan medik.

“Serangan itu terkena sebuah rumah di kem pelarian Shati di tepi pantai, menyebabkan seorang budak perempuan berusia lapan tahun terbunuh, kata jurucakap perkhidmatan kecemasan Ashraf al-Qudra.

Gencatan senjata sebelah pihak, kira-kira empat minggu selepas pertempuran dengan pemerintah Hamas di Gaza berlaku selepas kuasa dunia mengutuk serangan yang menyebabkan 10 penduduk Palestin yang berlindung di sebuah sekolah, terbunuh ketika Israel mengundurkan beberapa tenteranya dari Gaza.

Tentera Israel berkata gencatan selama tujuh jam mulai 7 pagi hingga 2 petang itu adalah di semua wilayah Palestin kecuali kawasan timur Rafah, lokasi pertempuran masih berterusan dan Israel terus menempatkan tenteranya.
Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri bagaimanapun berkata bahawa kumpulannya meragui pengumuman gencatan senjata oleh Israel itu.

“Kami tidak mempercayai gesaan dan seruan dan meminta orang kami berhati-hati. Gencatan senjata sebelah pihak yang diumumkan itu juga adalah satu usaha untuk mengalih perhatian daripada pembunuhan besar-besaran Israel,” katanya.

Tentera Israel berkata bahawa Ahad lalu mereka mensasarkan tiga pejuang Jihad Islam menaiki motosikal yang dilihat di sebuah sekolah UNRWA di Rafah.

Tentera dalam satu kenyataan memberi amaran bahawa mereka akan bertindak balas terhadap sebarang cubaan untuk mengeksploitasi gencatan senjata itu dan melakukan serangan terhadap penduduk awam dan tentera. Ia adalah gencatan senjata kemanusiaan keenam diisytiharkan Israel sejak bermulanya pertempuran 8 Julai lalu.

Ia juga menyebut bahawa penduduk di Abasan al Kabiran dan Abasan al Saghira, dua perkampungan timur Khan Yunis di selatan Gaza boleh kembali ke rumah masing-masing.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menyifatkan serangan terhadap sekolah yang menjadi perlindungan 3,000 penduduk Palestin sebagai tidak bermoral dan satu perbuatan jenayah.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Jen Psaki berkata Washington ‘terkejut’ dengan serangan itu dan menggesa satu siasatan penuh dan menyeluruh.

“Israel perlu melakukan lebih banyak lagi untuk memenuhi standard mereka dan mengelak kematian penduduk awam,” katanya. – AFP

Komen


Berita Berkaitan