Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,669

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Islam: Antara Hakikat Dan Hiasan

1:13pm 20/02/2016 Zakir Sayang Sabah 34 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Apakah jenis Islam yang kita inginkan ataupun pentingkan? Islam yang hakiki yang berteraskan kepada intipati ataupun tujuan syariat Islam itu diturunkan oleh Allah?

Ataupun Islam hiasan yang kelihatan pada luaran kulitnya atau cosmetic adjustments padahal intipati (essence) tidak memenuhi tujuan asal Islam itu sendiri?

Dahulu Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali (w. 505H) menulis kitabnya yang terkenal Ihya ‘Ulum al-Din bagi menangani penghayatan Islam tanpa roh yang sebenar. Tujuan beliau menangani perbahasan fekah yang kontang tanpa isi kerohanian dalam menghayati ibadah.

Al-Imam Abu Ishaq Al-Syatibi (w. 790) telah menulis al-Muwafaqat membahaskan Maqasid al-Syariah (The Highest Objectives and intents of Islamic Law) bagi menjelaskan apakah tujuan utama di sebalik syariah yang kita lihat dan amalkan.

Dalam Radical Reform, Prof. Tariq Ramadan menolak apa yang dinamakan Islamic economy, Islamic politic, Islamic medicine dan seumpamanya. Beliau menolak istilah-istilah ini.

Beliau menyatakan tiada sama sekali apa yang dinamakan Islamic economy sebaliknya yang ada hanyalah garis panduan umum serta falsafah bagi tujuan ekonomi yang ditetapkan oleh Islam.

Bagi beliau tiada yang dinamakan Islamic economy, sebaliknya yang ada ialah etika Islam dalam ekonomi. Kata beliau “There is no Islamic economy, therefore, but an Islamic ethics of the economy”.

Hiasan

Ia mungkin soal pengistilahan, tetapi yang hendak ditekankan, apakah faedahnya meletakkan nama Islam untuk ekonomi, perubatan dan seumpamanya, padahal ia hanya satu hiasan luaran bukan hakikat yang hendak dicapai oleh syariat Islam itu sendiri.

Jika dinamakan perbankan Islam, tapi unsur penindasannya sama dengan yang tidak bernama Islam, hanya sekadar istilah arab dan syariah sahaja yang dipentingkan, apalah maknanya?

Allah tidak memerlukan harta kita, Allah mahu kita tidak zalim dan tidak menindas antara satu sama lain.

Pakaian, istilah, hiasan, corak dan bahasa yang dikaitkan dengan Islam tidak memberi erti jika tidak memenuhi tujuan asal ataupun matlamat syariat Islam dalam perkara yang berkaitan.

Saya berikan satu contoh di sini, sebuah kedai makan yang bersih dan selamat makanannya tanpa memperlihatkan ciri-ciri zahir agama lebih memenuhi tuntutan Islam dibandingkan sebuah kedai makan yang peniaganya berkopiah dan dindingnya bergantungan ayat-ayat al-Quran tetapi tidak bersih dan kualiti makanannya di tahap yang rendah.

Bagi seorang peniaga makanan, menyediakan makanan yang bersih dan selamat adalah satu kewajiban. Itulah intipati tanggungjawab seorang peniaga makanan. Sementara memakai kopiah dan mengggantung ayat al-Quran di dinding bukanlah satu tuntutan.

Ia satu pilihan. Bahkan kadang-kala ia boleh menjadi satu cara penipuan jika ada tujuan yang tidak jujur.

Sabda Nabi: “Muslim saudara muslim. Tidak halal seorang muslim menjual kepada saudaranya suatu jual yang ada kecacatan tanpa diterangkan” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dll. Al-Hakim menyatakan sahih dan disetujui oleh al-Zahabi).

Tipu

Apabila kita membaca hadis Nabi s.a.w yang bersabda:

“Sesungguhnya para peniaga dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang jahat kecuali mereka yang bertaqwa, berbuat kebaikan dan benar”

Riwayat al-Tirmizi, al-Hakim dalam al-Mustadrak dll.

Al-Hakim menyatakan sanadnya sahih. Ia dipersetujui oleh al-Zahabi) kita tahu yang jahat ialah sesiapa yang menipu pelanggan. Dalam konteks kedai makan penipuan adalah makanan yang kotor dan tidak selamat.

Tidak dikatakan penipu orang yang tidak memakai kopiah ataupun tidak menghiasi kedainya dengan ayat-ayat al-Quran.

Memakai kopiah dan menggantungkan ayat al-Quran itu merupakan hak peniaga atas premisnya. Namun jika itu semua dilakukan untuk menarik pelanggan supaya merasa kedai makannya mengikut ajaran Islam sedangkan hakikat tidak, maka itu satu penipuan.

Lebih baik dia jangan meletakkan ayat-ayat Tuhan di dinding jika itu sekadar mengelirukan pelanggan. Dia bagaikan menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah.

Mungkin bagi muslim mereka dapat bezakan antara perangai orang yang tidak ikut ajaran Islam dengan kesucian ayat yang digantung. Namun bagi non-muslim mungkin mereka akan salah sangka dengan Islam.

Suatu ketika, Rasulullah s.a.w melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah.

Baginda pun bersabda: “Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?.

Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!”. B

aginda bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku”

Riwayat Muslim

Intipati

Demikian juga Islam tidak pernah menetapkan jenis masakan. Bukanlah masakan arab itu lebih disukai Allah dibandingkan masakan Barat. Seseorang yang suka makanan arab tidak bererti dia lebih soleh daripada yang suka makanan melayu ataupun Barat.

Apa yang Allah sebut dalam al-Quran: “dan makan dan minumlah, tapi jangan berlebihan, sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berlebihan”.

Surah al-A’raf, ayat 31

Jika kita lihat dalam urusan pentadbiran, apakah yang menjadi tujuan pengurusan pentadbiran dalam Islam? Islam tidak pernah mendetilkan rupa paras politik Islam, sebaliknya hanya memberikan garis panduan umum sahaja.

Pentadbiran dan politik dalam Islam samada hendak dinamakan etika Islam dalam politik ataupun politik Islam, terpulang. Namun perkara yang menjadi tujuan Islam dalam politik ialah kemaslahatan negara.

Bukan kemaslahatan pemimpin ataupun parti tertentu sahaja, sebaliknya ialah kemaslahatan umum untuk semua negara. Pengurusan pentadbiran dalam Islam berteraskan al-Quwwah dan al-Amanah ataupun efficiency and accountability.

Jika sesiapa sahaja mampu mencapai pengurusan yang amanah dan cekap dalam ertikata yang Islam kehendaki, maka dia telah menunaikan maksud dan tujuan pentadbiran politik dalam Islam.

Firman Allah:

“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah.”

Surah al-Qasas:26)

Bagaimanakah reka bentuk kerajaan dan pendekatan yang hendak diambil dalam mencapai maksud amanah dan cekap itu, Islam tidak tetapkan. Asalkan ia adil, tidak zalim atau tidak menyanggahi prinsip-prinsip umum Islam maka segala pendekatan dan cara boleh diambil.

Islam tidak pernah menetapkan pemimpin itu mesti bergelar mullah ataupun ustaz ataupun ulama. Tidak pula mesti berjubah dan berkopiah. Tidak pula ditentukan mesti nama-nama negeri, kampung, pejabat ditukar kepada istilah-istilah arab.

Jika ulama dilihat mampu membawa kepada ketelusan dan kecekapan pentadbiran maka mereka dilantik. Jika selain ulama lebih mampu, mereka dilantik.

Apa yang al-Quran tegaskan :(maksudnya)

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil.

Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.”

Surah an-Nisa’ ayat 58

Dalam minat yang tinggi rakyat kita untuk kembali kepada Islam, mereka hendaklah dapat membezakan antara hakikat dan hiasan. Bukan hiasan itu tidak perlu, tetapi hiasan itu hendaklah menggambarkan hakikat.

Jika hiasan itu tidak menggambarkan hakikat maka itu penipuan dan ia bukan tujuan asal Islam yang Tuhan kehendaki.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan