Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,823

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

IS ancam serang Washington

8:51am 17/11/2015 Pak Roshan 103 views Global
SEORANG mangsa yang cedera dalam serangan di Paris awal Sabtu lalu diusung untuk dihantar ke hospital.

SEORANG mangsa yang cedera dalam serangan di Paris awal Sabtu lalu diusung untuk dihantar ke hospital.

Kaherah: Kumpulan Negara Islam (IS) semalam memberi amaran, negara yang mengambil bahagian dalam serangan ke atasnya di Syria akan mengalami nasib yang sama seperti yang berlaku di Paris.

Amaran itu yang terkandung dalam video terbarunya itu turut mengancam untuk menyerang Washington.

Video itu yang dimuat naik ke laman yang sering digunakan IS bermula dengan rakaman petikan serangan di Paris yang menyaksikan sekurang-kurangnya 129 orang terbunuh.

Mesej kepada negara terbabit dalam apa yang disifatkannya sebagai ‘kempen perang salib’ disampaikan oleh seorang lelaki berpakaian celoreng dan berserban yang dikenali sebagai warga Algeria, Al-Ghareeb.

“Kami ingin memaklumkan kepada negara yang mengambil bahagian dalam kempen salib, anda juga akan mengalami seperti Paris. Kami berikrar akan menyerang Washington selepas ini,” kata lelaki itu.

Setakat ini tidak dapat disahkan kesahihan video itu yang didakwa dirakam oleh anggota IS di Salahuddine, wilayah di utara Baghdad.

Kerajaan Perancis menyifatkan serangan di Paris awal Sabtu lalu sebagai tindakan perang dan berikrar tidak akan menamatkan serangan udaranya ke atas IS di Syria dan juga Iraq.

Jet pejuang negara itu melancarkan serangan terbesarnya di Syria semalam, menyasarkan kubu kuat IS di bandar Raqqa, Syria.

Dalam video berkenaan, Al Ghareeb juga memberi amaran kepada negara Eropah supaya bersedia dengan lebih banyak serangan.

“Saya ingin memberitahu negara Eropah, kami akan datang, datang dengan jerangkap samar dan bahan letupan, datang dengan tali pinggang sarat dengan bom dan anda tidak akan mampu menghalang kami kerana hari ini kami lebih kuat daripada kamu,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi lelaki yang dikenal pasti dalam video itu sebagai warga Iraq, Al Karrar, seolah-olah memberitahu Presiden Perancis Francois Hollande: “Kami memutuskan untuk berunding dengan kamu, tetapi bukan di hotel.”- AFP/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan