Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Iraq minta bantuan US

iraq

BAGHDAD: Kerajaan Iraq, hari ini buat pertama kali meminta bantuan Amerika Syarikat (AS) untuk melancarkan serangan udara terhadap militan Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) yang menguasai sebahagian besar kawasan di utara negara ini.

Menteri Luar, Hoshyar Zebari berkata, permintaan itu dibuat bagi melemahkan moral militan ISIL yang kini cuba menguasai kilang minyak terbesar Iraq di Baiji sejak semalam.

Jelasnya, sekutu Iraq, Iran buat masa ini tidak campur tangan dalam membantu Baghdad, tetapi tidak menolak kemungkinan Teheran akan berbuat demikian jika keadaan semakin meruncing.

“Serangan udara AS perlu dilancarkan bagi merampas semula kawasan yang dikuasai ISIL yang memiliki banyak senjata rampasan daripada tentera Iraq.

“Saya juga telah memaklumkan kepada negara Arab yang lain bahawa Iraq mengemukakan bantuan secara rasmi kepada AS berdasarkan perjanjian keselamatan kedua-dua negara,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri luar Arab di Jeddah.

Sementara itu di Washington, Pengerusi Ketua Turus Tentera, Jeneral Martin Dempsey mengesahkan bahawa Baghdad telah meminta bantuan tentera udara AS untuk menggempur kedudukan ISIL, tetapi tidak memberi butiran lanjut tentang perkara tersebut.

Namun, beliau menegaskan bahawa sebarang tindakan ketenteraan perlu digunakan dengan baik dan berkesan serta tidak perlu dilakukan dengan tergesa-gesa.

“Kami perlu mengenal pasti maklumat risikan tentang lokasi tepat serangan sebelum Presiden membuat keputusan,” katanya.

Pentagon dalam kenyataannya sebelum ini melaporkan, operasi pemantauan dan risikan juga telah ditingkatkan atas permintaan Iraq selain menempatkan sebuah kapal pengangkut pesawat, dipercayai sebagai persiapan untuk melancarkan serangan udara.

Bagaimanapun, Presiden AS, Barack Obama masih belum memberi kata putus tentang permintaan Iraq itu dan beliau menegaskan serangan udara ke atas ISIL tidak perlu mendapatkan kebenaran Kongres.

Namun, beliau tetap akan berunding dengan Kongres tentang perkara tersebut selain mengulangi pendirian Washington untuk menghulurkan segala bantuan kepada kerajaan Iraq kecuali menghantar tentera ke negara itu. – REUTERS

Komen


Berita Berkaitan