Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,415

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Inspektor Polis Dituduh Terima Suapan RM4,000

3:57pm 16/03/2017 Pak Roshan 2301 views Jenayah,Mutakhir

SANDAKAN – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan RM4,000 tahun lepas.

Yugeswaran Surinaraina, 28, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ummu Kalthom Abdul Samad.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa memperoleh suapan RM2,000 daripada Abd Ghani Mohd Alip sebagai dorongan bagi menutup mulut pegawai bawahan berkaitan dengan pengambilan syabu oleh Ayub Abd Ghani pada 17 Jan 2016 antara 10 pagi hingga 11 pagi di Balai Polis Bandar Sandakan.

 Bagi pertuduhan kedua, Yugeswaran didakwa memperoleh suapan RM2,000 daripada Abdul Ghani sebagai dorongan untuk diberikan kepada pendakwa raya bagi menutup kes tipu Ayub pada 21 Jan 2016 antara 5 petang hingga 5.20 petang di tempat letak kereta di hadapan Restoran Habbeb Chicken Rice, Bandar Maju Sandakan.

Yugeswaran didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Ummu Kalthom membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan RM6,000 deposit dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada SPRM.

Hakim juga menetapkan 27 April sebagai tarikh pengurusan kes.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya SPRM Awang Samsul Baharam Bungso dan tertuduh diwakili peguam Ram Singh. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan