Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Insentif Untuk Penari Sabah Harumkan Nama Malaysia Di Jerman – Musa

MATININ Sungkin, mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai pemenang pingat emas pertandingan Tarian Piala Dunia (DWC) yang berlangsung di Offenburg, Jerman, baru-baru ini.- Foto NSTP

 

KOTA KINABALU, 14 Julai : Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang berbangga dengan kejayaan kumpulan penari dari Sabah mengharumkan nama Malaysia dan khususnya Sabah pada pertandingan Tarian  Piala Dunia di Jerman baru-baru ini, mempertimbangkan insentif sesuai untuk mereka.

Beliau yang gembira dengan pencapaian kumpulan penari berkenaan yang memenangi dua pingat emas pada pertandingan itu, berkata perkara itu akan dibawa ke Kabinet negeri untuk dibincangkan.

“Saya mengucapkan tahniah, syabas dan cuba lagi di pertandingan yang lain supaya kita boleh lagi memperoleh banyak kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Maktab Sabah di sini hari ini. Turut hadir Pengetua Maktab Sabah Datin Nuinda Alias.

Beliau berkata pemberian insentif berkenaan akan memberi galakan kepada sekolah-sekolah lain di Sabah untuk mencatatkan kejayaan serupa.

Pada 4 Julai lalu, Matinin Sungkin,17, daripada kumpulan Persatuan Tobilung Sabah Bersatu (Tobisa) yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taun Gusi, Kota Belud,memenangi pingat emas bagi acara Junior Solo manakala Adhli Fadhlullah Sa’adilah daripada Maktab Sabah menang pingat emas bagi kategori Senior Solo Modern -Any Style pada pertandingan berkenaan.

Pertandingan tarian berkenaan disertai kira-kira 40 buah negara.

“Ini jelas menunjukkan bahawa anak-anak kita sama ada pelajar atau  remaja kita mempunyai bakat, kesungguhan untuk bersaing di peringkat negeri Sabah, Malaysia malah peringkat dunia sehingga berjaya menang dalam pertandingan (tarian) bertaraf dunia ini.

“Saya sangat gembira dan mengalu-alukan kemenangan ini. Saya berharap orang-orang muda ini terus bersaing dalam apa juga pertandingan di peringkat dunia. Ini menunjukkan kita rakyat di Sabah yang mewakili Malaysia banyak bakat dan keistimewaan termasuk dari segi menyanyi, menari sehingga kita selalu mendapat kemenangan dan mendapat nombor satu,” katanya.

Menurut Musa, rakyat Sabah sememangnya sudah amat kerap mencipta nama dalam pelbagai bidang sekali gus membuktikan bahawa ramai rakyat Sabah berbakat tinggi yang boleh dikedepankan di peringkat nasional dan dunia.

“Saya minta semua pelajar belajar bersungguh-sungguh dan pada masa yang sama mereka boleh menyertai aktiviti lain yang boleh membawa kejayaan kepada  diri, sekolah, negeri dan negara kita Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan