Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

‘Ingatkan tembak kijang…’, rupanya sepupu

SENJATA api buatan sendiri jenis bakakuk yang menyebabkan seorang lelaki maut selepas terkena tembakan yang dilepaskan sepupunya sendiri ketika berburu, di hutan Kampung Langkabungan 2, Kota Marudu. – Foto Ihsan PDRM

 

KOTA MARUDU: Kegembiraan seorang lelaki yang menyangka dapat menembak kijang ketika berburu, bertukar tragedi dalam sekelip mata selepas mendapati tertembak sepupu sendiri di kawasan hutan Kampung Langkabungan 2 di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, Andreas Labin, 22, meninggal dunia terkena tembakan dilepaskan daripada senjata api buatan sendiri jenis bakakuk di kawasan hutan Kampung Langkabungan 2, di sini.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai keluar berburu di kawasan sama selepas ditemui bersama selaras bakakuk.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 25 tahun itu keluar berburu sendirian di kawasan hutan terletak kira-kira 700 meter (m) dari rumahnya.

Beliau berkata, suspek mendakwa terlihat kelibat seekor kijang di kawasan semak dalam jarak 90m dari tempatnya berdiri, sebelum melepaskan tembakan.

“Lelaki yang bekerja sebagai penoreh getah itu mendakwa turut melihat kelibat kijang berkenaan jatuh sebaik tembakan dilepaskan, lalu bergegas mengambil hasil buruannya.

“Apabila sampai di lokasi berkenaan, suspek terkejut mendapati sepupunya terlentang dengan beberapa kesan tembakan di dada, leher dan muka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Izaan berkata, suspek bergegas pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian kepada penduduk kampung yang kemudian membantu membawa keluar mayat.

“Suspek bersama ketua kampung membuat laporan di Balai Polis Kota Marudu. Mayat dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat, manakala suspek ditahan untuk membantu siasatan.

“Polis turut merampas bakakuk bersama kelongsong peluru manakala kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat cuai dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan