Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,690

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ingatkan Aku Tentang 5 Perkara Ini, Wahai Sahabat

10:06am 11/10/2016 Zakir Sayang Sabah 129 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Percaya atau tidak, sahabat adalah merupakan insan yang boleh dikatakan sangat hampir dengan kita selain daripada ahli keluarga terdekat. Sahabat juga adalah seseorang yang boleh mempengaruhi kita waima ke arah kebaikan mahupun ke arah kejahatan.

Bahkan, ada yang menghabiskan masa bersama sahabat lebih banyak berbanding ahli keluarga sendiri. Segala suka duka dikongsi bersama sahabat sejati.

Alangkah indahnya hidup ini kalau kita dianugerahkan sahabat yang sangat memberi manfaat kepada kita untuk sama-sama meraih kejayaan di dunia dan di akhirat. Itulah sahabat yang sangat sukar untuk dicari.

Sepertimana Imam As-Syafie ada berpesan:

“Jika engkau memiliki sahabat (yang membantumu ke arah ketaatan), maka eratkan pegangan tanganmu kepadanya. Kerana mendapat sahabat sedemikian adalah sukar, dan berpisah darinya adalah sangat mudah.”

Sahabat Dan Lima Perkara

Dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Baihaqi, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda tentang ingat lima perkara sebelum lima perkara.

Maka, persahabatan ini akan lebih bermakna jika sahabat kita sama saling boleh membantu kita dalam mengingati lima perkara yang dituntut oleh Rasululllah S.A.W ini.

#1 – Sihat Sebelum Sakit

Sahabat,

Jika aku tidak rehat, terkejar-kejar menyiapkan tugasan dunia, ingatkan aku bahawa tubuhku mempunyai hak ke atasku untuk melepaskan lelah seketika.

Ingatkanku juga tentang kesihatan yang harus aku jaga demi untuk terus beribadat kepada-Nya.

#2 – Muda Sebelum Tua

Sahabat,

Benar masa muda hanya sekali, tetapi ajal juga akan menjemputku sebanyak sekali. Tegur aku tatkala dikau melihat aku hanyut dalam usia mudaku.

Di usia muda inilah seharusnya aku memperbanyakkan lagi amal ibadahku, takut bila tua nanti aku sudah tidak mampu untuk melakukannya.

#3 – Kaya Sebelum Miskin

Sahabat,

Bawalah aku untuk bersedekah bersamamu.

Berilah aku peluang untuk meraih pahala dalam membantu orang lain. Jauhkan aku dari amalan pembaziran yang tidak pernah disukai oleh Allah.

#4 – Lapang Sebelum Sempit

Sahabat,

Jika aku asyik dengan gadget, sibuk dengan dunia online, ingatkan aku untuk offline sebentar dan berpijak di dunia sebenar.

Jika aku lewat menunaikan solat, ingatkan aku bahawa Allah sedang menungguku untuk aku menjalankan tanggungjawabku kepada-Nya.

#5 – Hidup Sebelum Mati

Sahabat,

Ingatkanku agar tidak menangguhkan untuk berbuat kebaikan, kerana ajal tidak pernah lewat walau sesaat.

Dan jika aku berasa duka di atas ujian Allah, ingatkan aku bahawa Allah sangat menyayangi hamba-Nya yang sabar.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sahabat yang terbaik di sisi Allah adalah sahabat yang paling banyak buat baik kepada sahabatnya.”

(Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi)

Maka sahabat, bantulah aku agar kita sama-sama beroleh rahmat dan syurga dari-Nya.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Nur Ismalina Haris)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan