Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,728

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Infiniti Tawakal

10:13am 07/03/2016 Zakir Sayang Sabah 9 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Setiap kita secara fitrahnya berfungsi secara multi-tasking. Tugas pertama kita adalah sebagai hamba Allah, seterusnya sebagai khalifah di muka bumi ini termasuklah seperti bapa, ibu, pekerja mahupun pelajar.

“Persoalanya bukan seberapa banyak peranan yang dimainkan, tetapi seberapa besar kemampuan kita untuk mengimbangi semua peranan tersebut.” – Ummu Adhya’

Lantas, lahirlah suatu unsur yang dikenali sebagai TEKANAN. Siapa yang tidak pernah merasa tekanan?

Sedangkan ibu hamil dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang aktiviti lasak agar tidak menekan bayi dalam kandungannya, apatah lagi kita sebagai manusia biasa yang telah lama menghuni alam fana ini.

Sebagai seorang ibu, pelajar, isteri dan juga usahawan, tekanan sering kali melingkari kehidupan saya. Kadangkala saya seronok dengan tekanan yang ada, kerana ia seakan menjadi push factor kepada kerja saya.

Namun, sedikit sebanyak tekanan tersebut turut menyumbang kepada kenaikan paras tekanan darag saya saban hari. Suatu hari, sedang saya leka meneruskan kerja saya di samping menahan stress, saya tertarik dengan simbol infiniti.

Ya, INFINITI! Uniknya, satu angka yang sangat besar tapi hanya diwakilkan oleh satu simbol bulat-bulat yang melekat!

Antara Nilai Satu Dan Infiniti

Teringat perbualan dengan seorang sahabat sewaktu masih dii bangku pengajian beberapa tahun dahulu. Bermain-main dengan simbol tersebut dan meletakkannya dalam satu persamaan mudah. Menariknya seperti dibawah:

Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Mengutamakan diri dari Allah menyebabkan kita menghampiri kosong.

Signifikasinya, 1 itu melambangkan kita sebagai seorang hamba. Satu hamba dengan kudrat yang satu. Manakala simbol infiniti mewakili suatu kuasa yang amat besar yakni Allah swt.

Apa yang terjadi apabila kita meletakkan 1 di atas? Kita akan mendapat hasil yang menghampiri kosong!

Begitu juga apabila kita mendahulukan diri kita (dengan meletakkan diri kita di atas dan kuasa Allah di bawah), kekuatan kita sebenarnya menghampiri kosong. Kita bukanlah siapa-siapa tanpa Tuhan kita!

Bagaimana pula dengan dibawah ini?

Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Mengutamakan Allah dari diri sendiri adalah lebih bagus dari menghampiri kosong.

Dengan mengutamakan Allah (meletakkan Allah di atas diri kita), kudrat dan kekuatan kita adalah bersandarkan apa yang Allah berikan.

Yakni apabila kita bulatkan tawakal kita kepada Allah, nescaya apa yang kita bakal perolehi adalah yang terbaik untuk diri kita seadanya. Kita ada segalanya apabila kita rasa berTuhan.

“Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya..”
Surah At-Thalaaq, ayat 3

Bertawakalkah Terhadap Allah swt

Persoalannya, seberapa tawakal kah kita terhadap setiap ketentuan Allah? Tawakal perlu diiringi usaha. Tawakal tanpa usaha umpama membiarkan pintu rumah terbuka di saat berdoa semoga tiada pencuri masuk.

Tawakal itu suatu perasaan yang lahir dari dalam diri, tidak memejal dan tidak juga mampu dilihat mata. Tapi ia sangat penting. Bahkan lebih penting dari sebarang bentuk kemodenan dan kekayaan.

Jika tidak, masakan negara maju seperti Jepun mencatat jumlah bunuh diri yang tinggi?

Akibat Duniawi Mengatasi Pengabdian Tuhan

Ya, apabila seorang insan terlalu meletakkan nilai diri di depan dan menafikan sebarang bentuk kuasa yang lebih besar, jiwanya akan merudum apabila menghadapi permasalahan walaupun satu kegagalan picisan.

Berdasarkan teori ini, bunuh diri itu terjadi apabila hasil persamaannya itu mencapai 0 secara total. Adakah Jepun sebuah negara yang mundur? Tidak bukan.

Tetapi ketidakmahuan untuk mengakui kuasa Tuhan yang mengatasi kemampuan individu menyebabkan betapa rapuh dan ampuhnya nilai diri rakyat Jepun sehingga memilih jalan pintas ke arah kematian.

Begitu juga dengan beberapa artis ternama Barat yang memilih untuk mengakhiri hayat sendiri selepas berhadapan dengan masalah hidup.

Wang yang melimpah ruah tidak berguna di saat jiwa kosong mendambakan satu kekuatan yang mampu menongkat kerapuhan rohani mereka.

Rumusan

Justeru, dalam dirimu berusaha mahupun bersedih dengan suatu kegagalan, yakinlah ada Tuhanmu yang sedang melihat dan menilai setiap rintih jerih mu.

Yakin dan bersangka baik kepada Allah yang Maha Pengasih. Kuasa kita hanya 1, kuasa Allah jua yang Maha Besar.

“Bersandar pada Allah, jiwamu besar. Bersandar pada diri, jiwamu sendiri.”

(Sumber: Tazkirah.net,oleh Ummu Adhya’)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan