Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Industri Kreatif Mampu Menyumbang Kepada Kepelbagaian Luar Bandar – Musa

Datuk Musa Aman

KOTA KINABALU, 12 Okt – Industri kreatif boleh menyumbang kepada kepelbagaian luar bandar, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Beliau berkata dalam hubungan itu, industri kreatif di kawasan luar bandar dapat membantu menjana potensi untuk perusahaan berkualiti tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkekalan.

“Pertumbuhan industri di kawasan luar bandar berkait rapat dengan peningkatan pendapatan boleh guna dan peluang pendidikan yang lebih baik.

“Peranan yang dimainkan oleh industri kreatif di kawasan luar bandar perlu lebih banyak diperakui dan lebih difahami oleh kerajaan tempatan, bagi meneruskan dasar dan rancangan yang inovatif yang bertujuan untuk pembangunan luar bandar.

“Pembuat dasar perlu secara rutin mengintegrasikan industri kreatif dalam rancangan pembangunan semula untuk pusat bandar, selain inisiatif strategi pelancongan dan pemasaran bagi menarik dan mengekalkan individu yang mahir dan kreatif,”katanya.

Musa berkata demikian pada seminar memupuk komuniti kreatif luar bandar Sabah di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Tugas Khas Negeri Datuk Teo Chee Kang.

Seminar ini dianjurkan oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), bersama Yayasan Konrad-Adenauer-Stiftung (KAS) yang berpangkalan di Jerman, dengan kerjasama Persatuan Seni Persembahan Kota Kinabalu, Sabah (SPArks).

Musa berkata pembuat dasar berminat dalam industri kreatif kerana kemampuannya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, dan ia juga dikenal pasti sebagai asas dalam transformasi ekonomi di negara seperti New Zealand, Korea Selatan dan Hong Kong.

Beliau berkata industri kreatif tempatan perlu melihat pelbagai kekuatan dan kelebihan yang ada di Sabah di segi sumber kreatif.

“Sabah diiktiraf kerana kepelbagaian budaya, dengan sumber yang luas dalam bidang seni persembahan dan visual, filem dan kraftangan.

“Negeri ini juga merupakan destinasi pelancongan yang terkenal di peringkat antarabangsa, terutama dalam ekopelancongan, hasil daripada pelbagai jenis tarikan semula jadi bertaraf dunia, menjadikannya destinasi menarik bagi melakukan  pengambaran dokumentari dan fotografi  komersial,”katanya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan