Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,664

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Indonesia Sekali Digempar Dengan Letupan Bom

7:17pm 05/07/2016 Pak Roshan 45 views Global

solo

JAKARTA – Indonesia sekali lagi digemparkan dengan kejadian letupan bom apabila Markas Polis Komando Daerah (Mapolresta) di Solo diserang dengan letupan bom bunuh diri oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

Letupan bom itu berlaku di luar kawasan Malpolresta di Surakarta, Solo di wilayah Jawa Tengah pada kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi waktu Indonesia Barat (bersamaan 8.40 pagi waktu Malaysia) awal Selasa.

Berita mengejutkan itu disahkan oleh Ketua Biro Penerangan Masyarakat Polis Republik Indonesia, Agus Rianto yang memberitahu sidang media dan disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen tempatan.

Kata beliau, seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal secara tiba-tiba meletupkan bom di badannya sendiri di hadapan balai pegawal markas polis berkenaan.

Katanya, dalam kejadian itu seorang anggota polis yang kebetulan bertugas di luar kawasan balai berkenaan cedera parah akibat terkena ledakan bom berkenaan.

Beliau berkata, lelaki terbabit pada mulanya mahu memasuki balai polis itu atas alasan ingin membeli makanan sebelum ditahan oleh polis pengawal sebelum meletupkan bom.

Agus berkata, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti identiti lelaki terbabit dan percaya ia adalah antara aktiviti terancang puak pengganas.

Ekoran kejadian itu, Ketua Polis Negara, Badrodrin Haiti telah mengarahkan pasukan polis di seluruh negara membuat kawalan ketat terutama pada malam takbiran Aidilfitri malam ini dan solat sunat Hari Raya esok.

Katanya polis tidak akan melarang masyarakat menyertai acara takbir di sekeliling kampung dan kawasan perumahan tetapi mereka harus meminta kebenaran pihak polis terlebih dahulu.

Presiden Indonesia, Joko Widodo pula dipetik oleh siaran-siaran televisyen sebagai berkata, rakyat diminta bertenang tetapi harus sentiasa berwaspada.

Katanya, beliau telah mengarahkan polis supaya bertindak untuk mencari dan melumpuhkan jaringan secara berterusan kegiatan pengganas itu.

Joko yang kini berada di Padang, Sumatera Barat bagi menyambut malam Aidilfitri dan dijadual bersolat Hari Raya di wilayah itu turut dijadual pulang ke kampung halamannya di Solo, Jawa Tengah, esok.

Pada awal Januari lepas, empat lelaki yang dipercayai anggota puak pengganas maut setelah meletupkan beberapa butir bom buatan sendiri di hadapan pusat membeli belah di Sarinah Thamrin di sini.

Dalam kejadian di depan pondok polis dan kawasan parkir bangunan itu, empat orang awam turut terbunuh dan 27 yang lain cedera. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan