Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,655

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Indonesia Hargai Keikhlasan Guru Sabah Mendidik Rakyatnya

7:08pm 19/09/2016 Pak Roshan 1360 views Tempatan
gambar hiasan

gambar hiasan

KOTA KINABALU : Indonesia menghargai keikhlasan lebih 60 guru tempatan di Sabah mendidik rakyatnya tanpa sebarang bayaran di sekolah kendalian negara itu di seluruh negeri.

Konsul Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu Akhmad DH Irfan berkata sumbangan golongan guru tersebut telah meringankan sebahagian kos dan masalah kekurangan guru Indonesia untuk memberi pendidikan kepada rakyatnya di sini, terutama anak-anak pekerja Indonesia di Sabah.

“Pihak konsulat telah cuba untuk memberi bayaran atau sedikit token kepada guru-guru ini kerana sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk masuk ke estet-estet kelapa sawit semata-mata untuk mendidik anak-anak kami.

“Bagaimanapun, mereka (guru tempatan) enggan menerima walau satu sen pun kerana mereka mengharapkan pengorbanan mereka ini dianugerahkan dengan pahala dari Allah. Alhamdulillah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Akhmad, terdapat 217 sekolah Indonesia di seluruh negeri bagi memastikan anak-anak rakyatnya yang bekerja di sini tidak terlepas daripada mendapat pendidikan.

Katanya, lebih 300 guru dari Indonesia, yang ditempatkan di negeri ini, dilihat masih belum mencukupi untuk mendidik lebih 24,000 murid.

Akhmad menjangka jumlah murid akan bertambah memandangkan jumlah permohonan pasport Indonesia yang diurus konsulat jeneral itu juga semakin meningkat.

Beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan lebih 469,000 pasport untuk rakyat Indonesia sejak lima tahun lalu.

Bagi memberi peluang kepada rakyatnya mendapat pendidikan tinggi ketika bekerja di negeri ini, Akhmad berkata Kementerian Luar Indonesia telah memperkenalkan pengajian secara dalam talian sejak dua tahun lepas.

“Sekarang ini ada kira-kira 100 warga Indonesia di Sabah yang mengikuti kursus dengan Universitas Terbuka Indonesia.

“Semua mereka mengikuti kursus pendidikan guru. Ini dilihat baik kerana mereka ini boleh memenuhi permintaan tenaga pengajar di sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh konsulat di Sabah,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan