Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,795

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Individu Miliki Dua Kerakyatan Boleh Dilucut Warga Malaysia

10:58am 05/05/2016 Pak Roshan 1695 views Berita Pilihan,Mutakhir,Nasional
gambar hiasan

gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mungkin ramai pernah mendengar ada kalangan rakyat negara ini memiliki dua kerakyatan.

Ia sering dikaitkan dengan penduduk Perlis, Kedah, Kelantan dan Perak yang bersempadan dengan Thailand serta Sabah dan Sarawak yang bersempadan dengan Filipina dan Indonesia.

Namun sejauh manakah kebenaran dakwaan itu? Ketika Bernama mengajukan soalan ini kepada berapa pihak yang berkaitan, tiada yang dapat mengesahkan berlakunya hal itu.

Sebaliknya, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Sulaiman Keling berkata Malaysia tidak pernah mengiktiraf rakyat negara ini yang memiliki kerakyatan negara lain.

Berikutan itu, katanya mana-mana individu yang dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan satu daripadanya.

Beliau berkata mengikut Perkara 24(1) Perlembagaan Persekutuan, kerajaan Persekutuan juga boleh melucutkan kewarganegaraan Malaysia kepada individu yang telah memperoleh kewarganegaraan negara lain.

“Mana-mana warganegara yang memilih mendapatkan kerakyatan negara lain, maka dia perlu membuat pelepasan kewarganegaraan Malaysia di JPN berdasarkan Perkara 23 Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Bernama.

Sulaiman berkata kerajaan boleh mempertimbangkan untuk melucutkan kewarganegaraan seseorang jika terdapat warga yang tidak membuat pelepasan kewarganegaran walaupun telah mendapatkan kewarganegaraan negara lain.

Menurut laman rasmi JPN, proses memperoleh semula taraf kewarganegaraan bagi mereka yang telah dilucut atau menolak kewarganegaraan Malaysia, perlu mendapatkan kelulusan kerajaan Persekutuan mengikut Perkara 18(2) Perlembagaan Persekutuan sebelum boleh didaftarkan semula sebagai warganegara.

Di TUMPAT, Kelantan, Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup, Siri Neng Buah, 63, tidak menafikan kemungkinan wujud dua kerakyatan membabitkan kerakyatan Malaysia dan Thailand, berikutan kedua-dua negara berjiran, selain wujud hubungan kekeluargaan antara rakyat kedua-dua negara.

Menurutnya, dua kerakyatan terutama yang membabitkan penduduk di selatan Thailand dan Kelantan berlaku akibat kepentingan sosial dan ekonomi.

Siri Neng Buah, seorang rakyat Malaysia berketurunan Siam, berkata masalah itu mula timbul apabila kad pengenalan diri yang dahulunya dikenali sebagai pasport diperkenalkan kerajaan British di kawasan bandar dan kawasan strategik bagi mengekang gerakan komunis di Tanah Melayu pada 1948.

“Dengan sistem pengenalan diri yang baharu itu, orang Thailand yang mempunyai keluarga di Tanah Melayu terutama di Kelantan pun turut membuat kad pengenalan diri di negara ini bagi memudahkan pergerakan mereka di sini.

“Nak dapatkannya pula cukup mudah, hanya perlu ke balai polis dan buat laporan mengatakan mereka tinggal di kampung tertentu dan tiada siasatan lanjut dilakukan oleh pasukan keselamatan.

“Ketika itu surat beranak belum lagi diperkenalkan di Tanah Melayu,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Kok Seraya, baru-baru ini.

Menurutnya, ketika itu Thailand sudah memperkenalkan sistem pengenalan diri yang disebut ‘Sammanu Krua’ ataupun Rumpun Keluarga di mana setiap orang didaftarkan mengikut keluarga masing-masing, namun tidak ramai orang Kelantan mendaftarkan diri di Thailand untuk sistem berkenaan.

Katanya selaras dengan perkembangan semasa, Tanah Melayu yang merdeka pada 1957 kemudian memperkenalkan beberapa taraf kewarganegaraan seperti warganegara dan penduduk tetap bagi memudahkan urusan penyenaraian penduduk.

“Kemuncak kepada masalah ini adalah pada 1970-an apabila Menteri Besar Kelantan ketika itu, Tan Sri Dr Mohd Asri Muda meminta Thailand memberikan kuasa autonomi penuh kepada wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala.

“Beliau turut mempersoalkan kewujudan konsulat Thailand di Kota Baharu sehingga menyebabkan tunjuk perasaan di sekitar Sungai Golok.

“Bagaimanapun, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman (ketika itu) kemudiannya mengisytiharkan tiga wilayah di selatan Thailand itu berada di bawah kedaulatan Thailand bagi meredakan ketegangan yang berlaku,” katanya.

Sejurus kejadian itu, katanya, Thailand kemudiannya menawarkan kepada mana-mana rakyatnya yang mempunyai taraf penduduk tetap di Malaysia supaya pulang dan menetap di Thailand.

“Kerajaan Thailand membuka beberapa penempatan baharu di Sukhirin dan mana-mana rakyatnya yang pulang ke Thailand, diberi kira-kira tiga hektar tanah di situ. Namun ada yang mengambil kesempatan mengekalkan kedua-dua kerakyatan kerana mereka masih mempunyai tanah dan keluarga di Kelantan.

“Seingat saya, ketika itu terdapat kira-kira 30,000 orang berhijrah ke Thailand namun (kini) jumlahnya semakin berkurangan kerana ramai yang telah meninggal dunia,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan