Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Individu Dakwa Apa Dipanggil Tentera Sulu Boleh Tewaskan Polis Malaysia

tanduo

KOTA KINABALU : Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Rabu bahawa seseorang individu dikenal pasti sebagai ‘Panglima’ dalam perbualan telefon yang dipintas mendakwa sekumpulan askar apa yang dipanggil tentera Kesultanan Sulu dapat menewaskan pasukan keselamatan Malaysia.

Pegawai Penyelia Unit Pintasan Komunikasi Cawangan Khas (SB) Bukit Aman, ASP Muhammad Fauzairi Jaidi berkata pada pukul 2.11 petang, 21 Feb 2013, ‘Panglima’, yang menggunakan telefon bimbit nombor 012-8284091 milik seorang dikenali ‘Al-Wajir Osman alias Abdul’, menghubungi ‘Raja Muda Agbimuddin’ yang menggunakan telefon bimbit nombor 014-2847213, untuk memaklumkan bahawa 200 orang telah tiba di satu tempat dikenali sebagai Pukat.

‘Panglima’ telah memberi amaran kepada Raja Muda Agbimuddin, yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Raja’ dalam perbualan telefon itu, supaya sentiasa berjaga-jaga, kata saksi itu.

“Raja’ juga ada menyatakan kalau ada apa-apa berlaku, ‘mereka’ boleh terus menyerang pihak berkuasa iaitu polis,” kata Muhammad Fauzairi dan menambah bahawa bahasa yang digunakan dalam perbualan telefon itu ialah Suluk.

Saksi itu menjelaskan kandungan perbualan telefon yang dipintas oleh unit beliau itu selepas mendapat kebenaran Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan insiden pencerobohan sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu dua tahun lepas.

Dalam perbualan telefon yang dipintas pada 5.03 petang 22 Feb, 2013, saksi itu berkata ‘Panglima’ telah menghubungi ‘Raja’ untuk memaklumkan bahawa stesen televisyen TV3 telah menyiarkan laporan bahawa Sabah akan dikembalikan kepada pemiliknya yang sebenar (Sabah).

“Dan apabila ditanya (oleh ‘Panglima’) tindakan Sultan Esmail Kiram and Sultan Jamalul Kiram III, ‘Raja’ menyatakan mereka (Esmail dan Jamalul) di ‘sana’ sibuk menguruskan isu ini,” katanya.

Dalam perbualan telefon pada pukul 6.14 pagi yang dipintas pada hari berikut (23 Feb, 2013), pegawai SB itu berkata ‘Raja’ memberitahu ‘Panglima’ bahawa Esmail akan berlepas ke Brunei pada hari itu (23 Feb, 2013) dan ke Tanduo selepas itu.

Kira-kira 12 jam kemudian, beliau berkata ‘Raja’ memberitahu ‘Panglima’ bahawa dia berharap Esmail akan datang (ke Tanduo) tetapi ‘Panglima’ berkata dia tidak mahu Esmail datang dan menyuruh ‘Raja’ kembali.

Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa pada pukul 1.37 tengah hari, 19 Feb, 2013, seorang lelaki, yang polis mengenalinya sebagai ‘lelaki Sabah (2)’ menggunakan nombor Al-Wajir, dihubungi oleh seorang lagi lelaki yang digelar ‘lelaki Sabah (1)’ menggunakan telefon bernombor 011-12076141 untuk memaklumkan bahawa sekumpulan 600 orang telahpun berada di Silam.

Muhammad Fauzairi berkata dalam satu lagi perbualan telefon dirakamkan pukul 3.54 petang pada 22 Feb, 2013, seorang individu dikenali sebagai ‘Adu’, yang juga menggunakan telefon bimbit Al-Wajir, menerima panggilan daripada nombor 012-8111909 digunakan oleh lelaki lain yang polis juga mengenalinya sebagai ‘Lelaki Sabah’, untuk memaklumkan ‘Adu’ mengenai nombor baharu telefon bimbitnya (Lelaki Sabah).

Saksi itu berkata dalam perbualan telefon dalam bahasa Suluk itu, ‘Adu’ menyatakan bahawa seorang individu dikenali sebagai ‘Naufal’ akan mencari jalan untuk menghantar bekalan makanan kepada ‘Raja’.

Pada pukul 7.23 malam, 23 Feb 2013, perbualan telefon antara seorang dikenali ‘Lelaki Sabah’ dengan ‘Adu’ telah dipintas apabila ‘Adu’ memberitahu ‘Lelaki Sabah’ itu bahawa “Datuk Seri Najib telah memberitahu dunia luar bahawa ‘Raja’ dan tentera kesultanan Sulu adalah penceroboh.”

Pada malam itu (23 Feb, 2013), saksi itu berkata ‘Lelaki Sabah’ itu telah menghubungi ‘Adu’ untuk memberitahu bahawa dia mendapat tahu bahawa hanya 250 orang tiba di Tanduo, tetapi ‘Adu’ menafikan dan sebaliknya menyatakan bahawa menurut ‘Raja’, “mereka datang dengan jumlah yang ramai”.

Pada 24 Feb, 2013, Muhammad Fauzairi berkata perbualan telefon yang dipintas pada 9.44 pagi mendedahkan bahawa ‘Lelaki Sabah’ memberitahu ‘Adu’ bahawa dua orang dikenali sebagai ‘Jeneral’ tidak mencapai satu bentuk persetujuan yang mendorong ‘Adu’ menjawab “Isu ini sudah tentu akan dibawa ke OIC.”

Beliau menmberitahu mahkamah bahawa dalam satu lagi perbualan telefon membabitkan nombor Al-Wajir (012-8284091), ada disebut mengenai sekumpulan 14 anggota ‘Kunjungan Kiram’ ditangkap di sebuah restoran kerana memiliki senjata api tetapi ‘Adu’ berkata Esmail menafikan 14 orang yang ditangkap itu sebagai orang-orangnya.

Saksi itu berkata ada juga disebut mengenai satu artikel disiarkan dalam akhbar tempatan, ‘The Borneo Post’ sementara dalam satu lagi perbualan telefon, seorang individu dikenali sebagai ‘Datu Bahang’ berkata wartawan Al Jazeera telah tiba di Kota Kinabalu dan akan diiringi oleh ‘Naufal’.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb hingga 10 April 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung Khamis.

–BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan