Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,791

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Indahnya Sabah: Jom ke Sub-Stesen Serinsim, Kota Marudu

1:05pm 30/11/2016 Elezebeth Esther Onjining 581 views Aktiviti,Alam Semulajadi,Berita Pelancongan,Kudat,Pelancongan,Rencana,Tempat Menarik,Tempatan
PENGARAH MOTAC Sabah, Ag. Ahmad Zaki Abu Bakar bersama para peserta program merakamkan gambar kenangan di hadapan papan tanda sub stesen Serinsim.

PENGARAH MOTAC Sabah, Ag. Ahmad Zaki Abu Bakar bersama para peserta program merakamkan gambar kenangan di hadapan papan tanda sub stesen Serinsim.

NEGERI Sabah sememangnya terkenal dengan destinasi-destinasi pelancongan yang kaya dengan tarikan alam semulajadi terutamanya pantai-pantai, taman negara, gunung-ganang dan sebagainya.

Disebalik destinasi-destinasi yang seringkali mendapat perhatian daripada pelancong asing mahupun tempatan seperti Ladang Teh Sabah, Kolam Air Panas Poring, Taman Kinabalu (Ranau), Bukit Kokol, Pasar Malam KK, Pulau Sapi, Mamutik dan Pulau Manukan.

Namun, banyak lagi tempat-tempat menarik di Sabah yang belum diterokai dan dikunjungi oleh masyarakat umum.

Baru-baru ini, Persatuan Pelancongan Sabah (STA), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) Sabah, serta Tourism Malaysia (TM) Sabah telah menganjurkan sebuah lawatan suai kenal destinasi pelancongan baharu dan rangkaian perniagaan ke Pitas dan Kota Marudu.

Penulis, ahli-ahli STA, wakil MOTAC dan Tourism Malaysia Sabah serta wakil-wakil media yang lain telah dibawa melawat ke beberapa lokasi pelancongan baharu termasuklah Taman Kinabalu Sub-Stesen Serinsim di Kota Marudu.

Taman Kinabalu Sub-Stesen Serinsim terletak kira-kira 131 kilometer (km) dari bandaraya Kota Kinabalu (2 jam 30 minit dengan kereta) dan lebih kurang 40km dari pekan Kota Marudu serta berada pada ketinggian 192 dari paras laut menjadikannya sebuah kawasan hutan hujan tropika tanah pamah.

Suasana yang nyaman dan menarik sesuai bagi mereka yang ingin lari daripada kesibukan kota dan merehatkan minda.

Sub-Stesen Serinsim ini mula mendapat perhatian awam disebabkan oleh tempat berkelah dan air sungai yang jernih dan bersih sesuai untuk bermandi-manda.

Selain itu, terdapat beberapa kemudahan penginapan disediakan untuk pengunjung seperti tapak perkhemahan, tiga buah chalet masing-masing untuk enam orang dan asrama untuk kemudahan para pelancong yang ingin menerokai keindahan alam dan keunikan kawasan berkenaan.

Tempat-tempat menarik sekitar kawasan Sub Stesen Serinsim

Tempat-tempat menarik sekitar kawasan Sub Stesen Serinsim

Aktiviti-aktiviti menarik di Sub-Stesen Serinsim

Selain aktiviti berkelah dan bermandi-manda di sungai Serinsim itu, para pengunjung juga boleh melakukan aktiviti meredah hutan atau ‘jungle tracking’ untuk melihat keindahan flora dan fauna di kawasan hutan berkenaan.

Pada jam 9.45 pagi, penulis dan para peserta program yang lain telah memulakan aktiviti meredah hutan yang terletak di kawasan Sub-stesen Serinsim itu.

Terdapat banyak flora dan fauna yang dapat dilihat sepanjang aktiviti meredah hutan itu.

Apa yang menarik perhatian penulis adalah Makam Lagenda Orang Tinggi (Gambaliu) yang terletak 1.5 km dari tapak permulaan.

Ramai yang kurang mengetahui tentang wujudnya tempat- tempat seperti ini.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, makam tersebut merupakan makam seorang lelaki yang bernama Gambaliu yang mana tinggi lelaki itu dianggarkan 24 kaki (berdasarkan ukuran makam berkenaan).

Selain itu, makam tersebut dianggarkan telah mencecah usia 2,000 hingga 3,000 tahun lamanya.

Pengerusi STA, Encik Tonny Chew berkata Sabah masih terdapat banyak kawasan- kawasan menarik yang berpotensi menjadi destinasi pelancongan yang mampu menarik ramai pelancong asing mahupun tempatan.

“Saya yang telah lama berkecimpung dalam industri ini juga tidak pernah mengetahui Sabah mempunyai tempat-tempat lagenda seperti Makam Lagenda Orang Tinggi ini sekiranya tidak datang ke sini dan melihatnya sendiri.

“Program suai kenal destinasi pelancongan baharu kali ini sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan kepada agensi pelancongan dan para pengusaha industri pelancongan serta menikmati sendiri keindahan alam semula jadi sekaligus memasukkan kawasan ini dalam pakej pelancongan di premis mereka,” katanya.

Selain itu, terdapat banyak lagi kawasan menarik sekitar sub-stesen Serinsim yang boleh dikunjungi seperti Makam Sigunting, Batu Lebah, Gua Kelawar, Pucak Nombuyukong dan Ladang Rusa Serinsim.

Walau bagaimanapun, penulis dan para peserta program tidak berkesempatan melawat kawasan-kawasan menarik seperti Air Terjun Misumpak kerana kekangan masa kerana perlu menuju ke destinasi seterusnya iaitu Ranau dan lokasi kawasan air terjun yang masih jauh iaitu lebih kurang 5km dari Makam Lagenda Orang Tinggi itu.

Secara keseluruhannya, Sub-Stesen Serinsim merupakan antara destinasi menarik di Sabah yang boleh dikunjungi oleh pelancong tempatan mahupun pelancong luar negara.

Setelah menikmati keindahan alam dan air sungai yang sejuk dan bersih di Sub-Stesen Serinsim, kami memulakan perjalanan ke destinasi seterusnya menuju ke Poring, Ranau yang mengambil masa lebih kurang satu jam melalui Jalan Marak Parak, Kota Marudu.

Dalam perjalanan menuju ke Ranau, kami disajikan dengan pemandangan yang begitu indah yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu dan amat sesuai kepada penggemar fotografi. Oleh Elezebeth Esther/SayangSabah

MAKAM Lagenda Orang Tinggi (Gambaliu) di Sub Stesen Serinsim, Kota Marudu

MAKAM Lagenda Orang Tinggi (Gambaliu) di Sub Stesen Serinsim, Kota Marudu

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan