Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ikhlas, Jauh Daripada Peduli Makhluk

Gambar Hiasan

Malam itu seperti malam-malam yang sebelumnya. Sepi. Tidak kedengaran walau sedikit pun bingit-bingit suara yang menyesakkan.

Dan yang menemani waktu itu hanyalah sekadar kerlipan bintang dan cahaya bulan pada suatu hamparan langit yang luas.

Setiap kali saya melihat keagungan Tuhan lewat ciptaannya, entah mengapa ketenangan yang tadinya hilang akan segera pamer.

Keindahan dan kecantikan ciptaan Tuhan yang satu ini seringkali memberi seribu satu rasa takjub dalam diri. Subhanallah!

Saya teringat suatu pesanan daripada seorang sahabat,

“Bulan masih setia melimpahkan cahayanya di saat yang lainnya sedang sepi dibuai mimpi.”

Untuk setia seperti bulan pada gelita malam, yang mungkin sahaja kehadirannya bahkan tidak disedari adalah suatu perkara yang sukar dilakukan.

Setia yang jika diamati maknanya akan membangkitkan rasa ikhlas dalam diri. Lewat sang bulan, saya menyedari hakikat ikhlas yang sebetulnya.

Saya masih mengingati peristiwa yang berlaku sewaktu saya masih di bangku sekolah menengah. Waktu itu saya masih berusia 15 tahun. Yang mungkin sahaja, fikiran dan kelakuannya masih lagi naif.

Kekecewaan yang terpaksa saya tanggung hampir berminggu lamanya hanya kerana keputusan percubaan PMR yang diperoleh tidak menepati sasaran yang telah saya tetapkan.

Saya gagal memenuhi ekspektasi guru-guru dan rakan yang lain. Yang waktu itu, saya merasakan bahawa kegagalan tersebut adalah yang paling teruk yang pernah saya alami. Paling tidak untuk waktu itu.

Pujian daripada teman-teman rapat tidak lagi diberikan. Untuk seorang pelajar tunas harapan sekolah yang gagal memperoleh keputusan yang cemerlang, ia adalah suatu perkara yang sangat memalukan.

Itu adalah prinsip yang paling kolot yang pernah saya yakini!

Hari demi hari berlalu. Dan saya mulai sedar, yang membuatkan saya sedih dan kecewa itu tidaklah pada kegagalan saya memperolehi keputusan yang cemerlang semata-mata, tapi kerana saya takut dihakimi dan risau kalau-kalau pujian daripada guru-guru dan teman rapat tidak lagi diberikan.

Saya gusar kalau-kalau pencapaian saya waktu itu mampu mengundang pandangan negatif daripada orang sekeliling.

Benarlah kata orang bijak pandai. Keikhlasan diri itu adalah perkara yang paling sukar untuk dididik. Semegah manapun kita berbicara mengatakan bahawa aku ikhlas melakukan ini, akan timbul juga walau sebesar zarah rasa untuk dihargai.

Kerana kita manusia yang masih banyak kelemahannya. Berdiri saja masih lemah teguhnya.

Pada suatu saat, kita seringkali merasakan kekuatan itu hadir lewat perhatian manusia. Sehingga akhirnya kita takut untuk berdiri di atas kaki sendiri.

Kita takut dihina dan dicaci orang sekeliling hanya kerana gagal memenuhi ekspetasi mereka. Kita takut mengatakan, “Aku punya Tuhan yang akan sentiasa melindungi.”

Al Izz bin Abdis Salam berkata : Ikhlas ialah, seorang mukallaf melaksanakan ketaatan semata-mata kerana Allah. Dia tidak berharap pengagungan dan penghormatan manusia, dan tidak pula berharap manfaat dan menolak bahaya.

Kita bahkan merasa lemah saat manusia dan yang lainnya beransur meninggalkan kita. Seolah kekuatan itu terzahir daripada mereka yang juga bergelar hamba.

Sedarilah, selama mana kekuatan itu kita sandarkan pada rapuh perhatian manusia, selama itulah kita tidak akan berani mengenal hakikat keikhlasan sebenarnya yang akhirnya menjadikan kita manusia yang hidup sekadar untuk meraih peduli orang sekeliling.

Keikhlasan adalah di saat kita mulai sedar hakikat tanggungjawab pada apapun hal yang kita lakukan. Keikhlasanlah yang akan memacu rasa tanggungjawab dalam diri.

Sehingga sebesar manapun amal yang kita kerjakan, kita akan sedar bahawa setiap satu itu adalah tanggungjawab dan amanah Tuhan buat kita yang sekadar seorang hamba.

Daripada keikhlasan, kita akan berani berjalan tanpa rasa dipandu peduli oleh sesiapapun. Cukuplah waktu itu yang menjadi dambaan hanyalah redha daripada Sang Khaliq.

Bukankah kita menyedari bahawa kehidupan ini adalah soal kita dengan Tuhan? Tiada lain yang berhak mencaturi tentang nikmat Tuhan yang besar ini.

Pada segala hal yang kita laksanakan, yang hanya berhak menghakiminya cumalah Tuhan. Bahkan hanya Tuhan yang punya hak atas apapun hal yang kita lakukan

Ingatlah, di saat kita mula merasakan peduli manusia itu yang memberi kekuatan, di saat itulah nilai keikhlasan akan semakin pudar.

Senja tak pernah menyalahkan awan kelabu yang sering menutupi keindahan dirinya. Senja sebuah lambang keikhlasan hati terdalam, menerima segala garis yang telah digariskan.

(Sumber: iluvislam oleh Muhammad Sabirrin bin Md Zahar)

Komen


Berita Berkaitan