Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,647

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ikan Pari Warna Merah Jambu Muncul Di Australia

3:44pm 06/11/2015 Pak Roshan 256 views Global

pari-pink

CANBERRA — Seekor ikan pari berwarna merah jambu yang berjaya dirakamkan kamera berdekatan perairan Bundaberg, Great Barrier Reef, baru-baru ini disebut-sebut sebagai yang pertama kali direkodkan di Australia.

Menurut media tempatan, seorang pelatih renang bernama Ryan Jeffery dilaporkan beberapa waktu lalu sedang melatih pelajarnya berenang berhampiran Pulau Lady Elliot ketika melihat ikan pari tersebut muncul tiba-tiba.

Saya dapat melihat ikan yang tampak warna aneh ini dengan cukup jelas. Malah pari tersebut juga kelihatan begitu akrab dan berada dekat dengan diri saya sendiri sekitar setengah jam lamanya,” kata beliau.

Ketika itu, ada juga beberapa ekor ikan pari lainnya tetapi yang ini langsung kelihatan perbezaan warna pada tubuh ikan ini,” ujar Ryan lagi kepada stesen kebangsaan Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) pada Khamis.

Beliau kemudian sempat mengambil beberapa foto dan rakaman video ikan berkenaan serta menegaskan: “Saya sudah sering berenang di kawasan ini dan tidak pernah pun melihat ikan pari sedemikian sama sekali.

Saya kemudian kembali ke lokasi yang sama dan berharap dapat melihat semula kelibat ikan pari berwarna merah jambu tersebut, tetapi berasa hampa apabila ikan berkenaan tidak pernah muncul lagi,” terang Ryan.

Seorang pakar ikan pari Australia, Dr. Kathy Townsend menjelaskan kepada ABC, keadaan warna unik pada ikan pari itu sebenarnya sudah cukup menghairankan fikiran dalam kalangan saintis marin sendiri.

Ikan pari ini adalah daripada jenis jantan dewasa dan memang jelas dapat dilihat ia memiliki warna merah jambu di bahagian tubuh padahal sepatutnya kawasan permukaan tersebut berwana putih,” kata beliau.

Menurut Townsend, ada pelbagai kemungkinan yang boleh menerangkan fenomena aneh tersebut dan lazimnya, ikan pari bahkan ikan jerung jikalau berasa ‘stres’ kemungkinan besar akan berubah warna pada tubuhnya.

Bagaimanapun teori umum tersebut dipertikaikan oleh Ryan dan mendakwa ketika kejadian itu, ikan pari berkenaan tampak agak santai malah cukup akrab serta sanggup lagi berada dekat sahaja dengan manusia.

Setelah diterangkan sedemikian, Townsend justeru menyifatkan, kemungkinan warna merah jambu itu muncul bukan kerana ikan pari itu sedang mengalami tekanan perasaan sebagaimana dijangkakan saintis selama ini.

Malah menurut beliau, seorang rakannya pernah melihat ikan pari warna merah jambu di perairan Mozambique, di timur benua Afrika, dan diketahui bahawa ia sedang mengalami jangkitan kulit. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan