Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ibu wakili mendiang anak ambil diploma

Maggi(kiri)sebak ketika mewakili mendiang anaknya menerima sijil diploma daripada Tun Juhar (kanan) sambil diperhatikan oleh Zainab(tengah).

KOTA KINABALU: Maggi binti Tanjong, 56 menahan sebak saat mewakili mendiang anaknya ketika menerima diploma pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Kota Kinabalu (PKK) Kali ke-21, pagi tadi.

Anaknya, Clinton Lindam, Pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat kemalangan motorsikal dan meninggal dunia pada Mac lepas.

“Sememangnya saya berasa sedih namun dalam masa yang sama gembira kerana anak saya berjaya menamatkan pengajian sebelum dia meninggal,”ujar Maggi kepada pemberita selepas majlis.

Mengimbau semula detik sebelum kemalangan berlaku, Maggi menyedari anaknya kelihatan resah dan kurang bercakap sebelum keluar untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan.

“Saya lihat dia duduk di ruang tamu sambil termenung dan beberapa kali keluar masuk dari bilik dan kelihatan resah sebelum dia melangkah keluar malam itu,”katanya.

Menurutnya, kejadian ngeri itu berlaku di kawasan yang sememangnya sering berlaku kemalangan, ditambah lagi keadaan yang agak gelap dan berbukit.

“Kereta yang beliau pandu terbalik dan beliau tercampak ke luar kereta sebelum dilanggar lagi oleh kenderaan lain yang melalui kawasan yang sama,”ujar Maggi.

Katanya, beliau terkejut ketika menerima berita kemalangan tersebut daripada kawan baik mendiang yang datang ke rumah pada malam itu, walaupun mendiang sempat dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

“Pada mulanya sudah tentu saya merasa sedih, tetapi selepas 100 hari pemergian mendiang, kami sekeluarga mula dapat menerimanya, dan kami hanya mampu mendoakan kesejahteraan mendiang di sana,”kata Maggi.

Tambah Maggi, Sebagai anak sulung, mendiang sememangnya harapan ibu bapanya malahan mendiang pernah berjanji untuk sentiasa memberikan ibunya wang setelah dia mendapat pekerjaan yang bagus kelak.

“Mendiang juga mengimpikan untuk memiliki kereta sendiri, maka bapanya telah membeli sebuah kereta baru dengan niat dibelikan untuk mendiang bagi membantunya mencapai impian,”kata ibunya.

Mendiang Clinton adalah antara 611 orang graduan daripada bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Elektrik, Perdagangan, Pelancongan dan Hospitaliti yang menerima sijil dan diploma dalam Istiadat Konvokesyen kali ini.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin berharap agar graduan Politeknik Kota Kinabalu(PKK) akan tampil lebih berani dan bijaksana mendepani cabaran dengan tidak memilih pekerjaan.

“Saya berharap para graduan sebaliknya mampu bersaing dan mempunyai nilai tambah yang diperlukan oleh pihak majikan dan mempunyai keyakinan diri untuk menceburi bidang keusahawanan,”ujarnya.

Pada masa yang sama, Tun Juhar turut berharap agar PKK akan terus komited dalam melaksanakan transformasi pendidikan negara khususnya ke arah mengarus perdanakan pendidikan, latihan teknik dan vokasional.

“Ia bagi memastikan keperluan tenaga pekerja berkemahiran tinggi dapat dihasilkan untuk pembangunan ekonomi yang berasaskan inovasi dan kreativiti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PKK, Zainab Othman berkata dari aspek pencapaian academic intelligence, peratus kelulusan pelajar PKK pada sesi Jun 2016 adalah sebanyak 99.7%.

“Pencapaian akademik yang cemerlang ini telah diterjemahkan menerusi kejayaan-kejayaan PKK menyertai pelbagai pertandingan bercirikan keusahawanan.

“Pertandingan tersebut fokus kepada inovasi, kreatif dan seni rekacipta berasakan kemajuan dalam bidang sains, teknologi dan maklumat sama ada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya.

Manakala dalam bidang ko-kurikulum khususnya bidang sukan, PKK mencatatkan kejayaan dalam pertandingan-pertandingan baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa antaranya menerusi sukan Boling Padang, Olahraga dan Bola Sepak.

“Pencapaian cemerlang dalam bidang ini telah melayakkan PKK memenangi Anugerah Khas Politeknik Terbaik 2015 sempena Polytechnic Sports Excellence Awards 2015 (POLYSEA2015),”kata Zainab.

Tambahnya lagi, kejayaan pelajar dan pensyarah yang menyertai Program Poly Home di Tawau memberi pendedahan bermanfaat untuk PKK khususnya kepada pelajar untuk mendekatkan diri dengan masyarakat.

Dalam masa yang sama, Politeknik Kota Kinabalu menerusi program pengantarabangsaan dan keusahawanan telah berjaya menjalin kerjasama dengan Politeknik Singapura menerusi Program Learning Express Programme.

“Kejayaan Dr. Melvin Mojikon yang memenangi Anugerah Best Paper Awards Sempena 3rd ASEAN Entrepreneurship Conference (AEC) 2016 @ Yogyakarta, Indonesia telah mengharumkan nama PKK sebagai salah sebuah politeknik yang berprestasi unggul,”ujarnya.

Menurut Zainab, faktor penyumbang kepada kecemerlangan ini adalah hasil daripada sokongan padu warga kerja terutama para pensyarah yang kompeten dan berdedikasi serta kemudahan prasarana yang lengkap dan komprehensif.

Dalam majlis tersebut, Al Said bin Utoh Karah menerima Anugerah Pengarah Politeknik Kota Kinabalu Sesi Jun 2016 manakala Anugerah Graduan Cemerlang Industri Tahun 2016 pula dianugerahkan kepada Kerren Kinidi dan Ranhill Powertron menerima Anugerah Rakan Industri.

Turut hadir memeriahkan majlis, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R.M.Jasni. /PENERANGAN

Komen


Berita Berkaitan