Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ibu dalam pantang positif syabu

IBU kepada bayi berusia sebulan antara yang ditahan AADK Tawau, selepas didapati positif dadah jenis syabu susulan serbuan di sekitar FELDA Umas, Tawau. – Foto Nasrawati Syarifuddin

 

TAWAU: Seorang ibu yang masih dalam pantang ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu susulan serbuan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sekitar FELDA Umas di sini, semalam.

Selepas didapati positif dadah, ibu kepada bayi berusia sebulan itu memberikan pelbagai helah kepada pihak berkuasa untuk melepaskan diri namun tidak berhasil.

Ibu muda berusia 19 tahun itu antara 19 individu termasuk tiga wanita yang ditahan dalam Ops Sarang bermula jam 10 pagi semalam membabitkan 20 anggota AADK Tawau bersama 11 anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Ketika ditemui media yang turut menyertai operasi itu, suspek yang bekerja sebagai tukang masak memberitahu suaminya ditahan sebulan lalu berkaitan kesalahan dadah.

“Anak lelaki saya baru berusia satu bulan dan dijaga oleh ibu mentua,” katanya.

Dalam serbuan berasingan, seorang suspek lelaki berusia 30 tahun yang ditahan mengaku sudah lama mengambil syabu dan berusaha untuk berhenti tetapi gagal.

“Saya sudah lama hisap syabu yang dibeli kalau ada duit sahaja. Saya sudah cuba untuk berhenti, tetapi tak boleh dan ini kali pertama kena tahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua AADK Tawau, Abd Gani Keruput, berkata operasi itu dijalankan dengan mensasarkan kawasan yang disyaki menjadi sarang penagihan dadah.

“Dalam operasi ini, seramai 19 individu termasuk tiga wanita berusia 19 hingga 45 tahun ditahan dan kesemuanya disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan