Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,735

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan anak

11:37am 17/11/2016 Leolerry Lajius 10 views Pendidikan,Tawau,Tempatan

TAWAU: Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan anak.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Hamisa Samat berkata, ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap anak-anak dan rumah tangga kerana melalui bantuan dan doa daripada ibu bapa, anak-anak mampu mencipta kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

“Sekiranya, ibu bapa sering mengabaikan anak-anak, mereka pasti berasa dirinya terabai dan mereka akan melibatkan diri dalam kegiatan gejala sosial yang tidak baik.

“Ibu bapa perlulah bertanggungjawab dan memastikan anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran. Sebagai contoh Majlis Mini Konvokesyen Tabika Kemas Kg. Simpang Tiga Merotai Besar ini,  mampu memberi semangat kepada anak-anak dengan kehadiran ibu bapa bersama-sama mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Mini Konvokesyen Tabika Kemas Kg. Simpang Tiga Merotai Besar, Tawau kelmarin. Seramai 14 kanak-kanak menerima sijil penghargaan pada hari tersebut,

Hamisa yang juga Adun Tanjong Batu berkata, penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak khususnya ketika di rumah sangat penting dan kajian membuktikan ia membawa perubahan yang ketara dalam kejayaan seseorang anak-anak.

“Melalui penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak. Anak akan mencapai keputusan akademik yang lebih cemerlang serta mempunyai nilai kendiri dan motivasi yang lebih tinggi di samping rekod kehadiran ke sekolah yang lebih baik.

“Ibu bapa pula mendapat manfaat dari segi mengakses sumber berkaitan keibubapaan dan memperoleh pengetahuan mengenai sistem serta prosedur sekolah untuk mendapatkan program bantuan sekiranya diperlukan. Apa yang lebih penting adalah mewujudkan suasana pembelajaran di rumah seperti menyediakan ruang atau sudut untuk anak belajar dan memastikan anak mempunyai serta mematuhi jadual ulang kaji,’ jelasnya./SayangSabah

Hamisa bergambar kenangan dengan 14 orang kanak-kanak semasa Majlis Mini Konvokesyen Tabika Kemas Kg. Simpang Tiga Merotai Besar, Tawau kelmarin.

Hamisa bergambar kenangan dengan 14 orang kanak-kanak semasa Majlis Mini Konvokesyen Tabika Kemas Kg. Simpang Tiga Merotai Besar, Tawau kelmarin.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan