Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,637

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ibu Bapa Akan Dimaklum Sehari Lebih Awal Jika Sekolah Ditutup

7:00pm 17/03/2016 Pak Roshan 20 views Mutakhir,Nasional

YB-P-Kamalanathan-111

PUTRAJAYA – Ibu bapa akan dimaklumkan sehari lebih awal sekiranya arahan penutupan sekolah dikeluarkan kerana cuaca panas berikutan fenomena El-Nino yang melanda negara sekarang, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P.Kamalanathan.

Beliau berkata satu garis panduan telah dikeluarkan kepada semua sekolah mengenai langkah-langkah yang perlu diambil oleh guru bagi mengawal situasi pelajar dan murid ketika cuaca panas dan kering.

“Garis panduan itu merangkumi mengurangkan aktiviti di luar bilik darjah dengan hanya membenarkan pengajaran serta pembelajaran di dalam kelas sahaja,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Kamalanathan berkata kementerian juga sedang menunggu garis panduan yang akan dikeluarkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkaitan garis panduan menyeluruh menghadapi cuaca panas dan kering serta fenomena gelombang haba.

“Sebaik menerima garis panduan itu, pihak kementerian akan mengedarkan surat pekeliling itu ke setiap sekolah sebelum sesi persekolahan dibuka pada Ahad dan Isnin ini,” katanya.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata cadangan garis panduan menyeluruh menghadapi cuaca panas dan kering serta fenomena gelombang haba akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.

Dalam perkembangan lain, Kamalanathan berkata semua Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh negara perlu memulakan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda dengan serta-merta.

Katanya, kelas-kelas Bahasa Ibunda (POL) itu tidak dapat dilaksanakan di beberapa sekolah seperti dilaporkan menerusi laman sosial baru-baru ini disebabkan kekangan kewangan.

“Bagaimanapun, masalah kewangan ini telahpun diselesaikan oleh Kementerian Pendidikan dan memutuskan untuk melaksanakan POL dengan terus menyalurkan peruntukan di sekolah-sekolah terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Kamalanathan juga menafikan dakwaan dalam media sosial bahawa kerajaan telah mengeluarkan arahan untuk menghentikan kelas-kelas POL di sekolah-sekolah bermula tahun ini.- BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan