Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ibrahim Ali Fail Saman Fitnah Terhadap Akhbar The Star

imbrahim ali

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali hari ini memfailkan saman fitnah terhadap akhbar The Star dan seorang lagi berhubung penerbitan sebuah artikel yang didakwa berunsur fitnah terhadapnya, pada 2 Nov lepas.

Ibrahim, 63, memfailkan saman itu melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates menggunakan proses “e-filing” di Mahkamah Tingggi di sini, bagaimanapun kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Bekas Anggota Parlimen Pasir Mas itu menamakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Publications (M) Berhad Datuk Seri Wong Chun Wai sebagai defendan pertama dan Star Publications (M) Berhad sebagai defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan, Ibrahim mendakwa pada 2 Nov lepas, Wong telah menulis dan menerbitkan artikel berjudul “A mind-boggling spin” di blognya “On the Beat” dan artikel itu kemudian diterbitkan semula di ‘The Star Online’ dan akhbar The Star.

Beliau mendakwa perkataan fitnah di dalam artikel itu membawa maksud antaranya ialah plaintif seorang pelampau agama, memperlekeh agama Kristian dan telah melakukan kesalahan besar serta tidak sepatutnya dilepaskan.

Selain itu, Ibrahim berkata artikel itu mendakwa beliau adalah pelampau yang sentiasa terlepas daripada tindakan undang-undang, sepatutnya ditangkap dan didakwa di bawah Akta Hasutan.

Artikel itu juga mendakwa plaintif mengeluarkan kenyataan yang menyerang dan menghina penganut agama Kristian serta menimbulkan perbalahan dan permusuhan di antara kaum dan penganut agama di negara ini.

Ibrahim mendakwa bahawa disebabkan perkataan fitnah itu, reputasi beliau terjejas teruk, mengalami kerugian teruk dan dipandang rendah oleh masyarakat.

Sehubungan itu, Ibrahim memohon defendan membayar ganti rugi am, teruk, teladan dan injunksi bagi menghalang defendan daripada mengeluarkan, menerbitkan atau mengedarkan sebarang kenyataan memfitnah terhadapnya sama ada secara maya atau bercetak.

Selain itu, beliau juga memohon faedah atas jumlah penghakiman pada kadar lima peratus setahun, kos tindakan dan apa-apa relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan