Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Hutang negeri, Yayasan Sabah akan diperincikan

MOHD Shafie pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Ramadan RTM 2018, di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Malai Rosmah Tuah

 

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memperincikan jumlah hutang yang ditanggung ketika ini termasuk dalam Yayasan Sabah untuk menilai kedudukan sebenar kewangan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata perincian itu perlu bagi menentukan sejauh mana kemampuan kerajaan dalam melaksanakan pembangunan sama seperti dilakukan kerajaan Pusat ketika ini.

“Ramai yang tidak tahu hutang ni banyak… nanti saya perincikan berapa hutang Yayasan Sabah, berapa hutang kerajaan negeri yang perlu dibayar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Ramadan RTM 2018, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman dan Pemangku Pengarah Penyiaran Sabah, Malinaziah Datu Mohd Julaspi.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata masalah hutang adalah antara kekangan yang perlu dihadapi kerajaan pimpinannya.

Ditanya mengenai status projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, beliau berkata ia akan diteruskan namun kaedah pelaksanaannya akan dikaji semula berdasarkan kedudukan kewangan ekonomi kerajaan Pusat.

“Saya yakin projek ini (Pan Borneo) akan diteruskan, cuma mungkin kerana masalah kewangan yang terbatas pada saat ini sehingga gaji menteri kena potong di peringkat Pusat, jadi bayangkan banyak kekangan (perlu dihadapi) termasuk di Sabah ini,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, media tidak seharusnya berkhidmat untuk sesuatu ideologi politik atau agenda tertentu tetapi sebaliknya perlu lebih fokus kepada rakyat.

Katanya, semua media termasuk media sosial di negeri ini perlu memberi lebih banyak ruang dalam mengetengahkan keluhan atau suara rakyat.

Mohd Shafie berkata, walaupun perkara itu mungkin pahit didengar oleh pihak pemerintah atau agensi berkaitan, ia harus diberi perhatian agar keluhan rakyat dapat didengar dan diketahui dengan lebih jelas.

“Apa juga yang kita lakukan harus mempunyai pendekatan atau keutamaan suara rakyat… walaupun ia tidak manis didengar, pahit tapi itulah lontaran suara rakyat yang perlu didengar oleh semua lapisan masyarakat.

“Tidak kira sama ada ia adalah pemerintah bahkan juga pentadbir yang ada di negara ini,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, RTM mengagihkan sebanyak 3,000 bungkus bubur di sekitar bandar raya sempena program Jelajah Ramadan RTM 2018 pada tahun ini. –¬†Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah/BH Online

Komen


Berita Berkaitan