Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Hukuman Mati Ditangguh Sebulan

Hukuman-mati

 

JAKARTA – Hukuman mati ke atas dua warga Australia yang didapati bersalah mengedar dadah di negara ini telah ditangguhkan sehingga satu bulan, lapor pejabat Naib Presiden Indonesia kepada AFP semalam.

Jurucakap kepada Naib Presiden Jusuf Kalla, Husain Abdullah berkata, pelaksanaan hukuman mati ke atas Andrew Chan dan Myuran Sukumaran akan ditangguhkan antara tiga minggu hingga satu bulan berikutan isu teknikal, tanpa memberi penjelasan lanjut.

Kedua-dua pesalah warga Australia itu merupakan ketua kumpulan pengedar dadah jenis heroin yang dikenali sebagai Bali Nine.

Pihak berkuasa Indonesia telah mengesahkan Chan, 31, dan Sukumaran, 33, adalah sebahagian daripada kumpulan banduan yang bakal menjalani hukuman mati walaupun selepas rayuan berulang kali oleh Perdana Menteri Australia, Tony Abbott agar kedua-dua mereka diberi pengecualian.

Kedua-dua pesalah itu dijadualkan dipindahkan minggu ini dari Bali ke sebuah penjara kawalan ketat di pulau Nusakambangan sebelum hukuman mati mereka dilaksanakan.

Bagaimanapun, pemindahan itu ditangguhkan selepas Canberra merayu agar kedua-dua mereka diberi lebih masa bersama ahli keluarga masing-masing.

Pihak berkuasa di sini turut menyebut penangguhan berikutan masalah logistik melibatkan kapasiti di Nusakambangan, pulau penjara terkenal di mana lima banduan telah dihukum mati bulan lalu.

Jurucakap kepada Pejabat Peguam Negara yang menyelia pelaksanaan hukuman tersebut, Tony Spontana enggan mengesahkan mahupun menyangkal kenyataan daripada pejabat Naib Presiden itu tetapi menegaskan lambat-laun kedua-dua banduan tersebut tetap akan berdepan hukuman mati oleh skuad penembak.

“Apa yang perlu ditekankan di sini ialah hukuman mati itu tetap akan dilaksanakan,” kata Tony.

Indonesia berikrar untuk meneruskan hukuman mati kedua-dua warga Australia itu yang merupakan sebahagian daripada tujuh banduan warga asing yang berdepan hukuman sama selepas kesemua mereka gagal dalam permohonan pengampunan daripada Presiden Indonesia.

Keputusan itu telah menyebabkan hubungan antara Jakarta dan Canberra menjadi tegang semula selepas perselisihan faham teruk mengenai pendedahan intipan dan penyeludupan manusia pada 2014. – AFP

Komen


Berita Berkaitan