Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,655

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Hotel-Hotel Labuan Mula Sibuk Untuk Ramadan

7:06pm 23/05/2016 Pak Roshan 34 views Mutakhir,Tempatan,WP. Labuan

iftar

LABUAN :  Industri hospitaliti, kedai makan dan minuman di pulau bebas cukai, Labuan, sudah mula sibuk sejak pertengahan bulan ini dengan pelbagai promosi dalam persaingan mereka untuk mendapatkan pelanggan pada bulan Ramadan nanti.

Victoria’s Brasserie Dorsett Grand Labuan, sebuah restoran dengan status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan meneruskan promosi popularnya, ‘Bufet Iftar Terpanjang’, yang memaparkan dapur memasak secara terbuka yang menawarkan juadah tempatan, masakan ketimuran, antarabangsa, Mediterranean, Arab dan pencuci mulut depan dengan lebih daripada 200 hidangan yang silih berganti setiap hari.

Restoran itu yang terletak di dalam hotel bertaraf lima bintang menawarkan majlis iftar dengan diiringi irama ‘qasidah’ oleh artis tempatan, kumpulan Al-Furqan, dengan menu serta pencuci mulut eksklusif pada harga RM65 untuk dewasa dan RM45 untuk kanak-kanak (tempahan awal) atau RM80 bagi dewasa dan 50 peratus potongan bagi kanak-kanak yang datang tanpa tempahan.

“Pelbagai jenis masakan antarabangsa, Arab dan Asia boleh disesuaikan untuk memenuhi bajet dan rasa. Pakej kumpulan dan makan malam peribadi iftar turut disediakan,” kata Pengurus Besar Susan Carlos dalam satu sidang media Isnin.

Dorsett Grand Labuan turut memanjangkan ruang iftar di kawasan terbuka, ia juga menjadi hotel pertama di Sabah dan Labuan yang dianugerahkan Sijil Keselamatan dan Kebersihan Kesihatan (BeSS) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ia akan menampilkan dapur ‘Bakar Bakar’ yang menawarkan ikan segar yang dipanggang, makanan laut, ayam dan daging kambing yang disediakan oleh chef eksekutif, Mohammad Shamsul Azham Abu Bakar, yang memiliki lebih daripada 30 tahun pengalaman.

“Bufet iftar ini juga pada setiap hari menawarkan juadah pembuka selera panas dan sejuk Arab, sup, masakan utama tradisional, pemanis mulut terpilih, minuman buah-buahan, kurma dan kuih-kuih tradisional Arab.

“Kami akan cuba untuk mewujudkan suasana Ramadhan yang sebenar,” kata Mohammad Shamsul.

Sementara itu, Tiara Hotel, yang pernah menggondol Anugerah Platinum Hospitaliti Asia Flavours of Asia 2013-2015 dan Anugerah Panduan Pelancongan Mewah mempersilakan tetamu untuk meneroka semangat dan kesucian bulan itu dengan hidangan mewah tradisional yang tulen, oriental serta antarabangsa yang disediakan oleh chef eksekutif, Sunny Kok.

Hotel tersebut mempunyai bufet Ramadan yang unik di restoran Alfresco Poolside Garden dan Gazebo De Alfresco, dengan lebih daripada 30 jenis hidangan serta tujuh set menu.

Ia menawarkan dua gaya sambutan Ramadan yang berbeza untuk tahun ini iaitu iftar secara tradisional di Alfresco Poolside Garden atau dalam suasana yang lebih santai di kawasan pondok dengan ketenangan kolam ikan dan taman di Alfresco De Gazebo yang eksklusif.

Restoran itu menawarkan pelbagai pilihan makanan tempatan dan antarabangsa pada RM48 seorang (untuk tempahan awal) atau RM52.80 bagi tetamu tanpa tempahan (Potongan 50 dan 30 peratus, masing-masing untuk kanak-kanak dan warga tua).

“Kami menawarkan pelanggan dengan pelbagai jenis makanan termasuk hidangan eksklusif kami seperti makanan laut dipanggang dan daging kambing,” kata Pengurus F&B Zuraini Kachi semasa pratonton media malam tadi, sambil menambah bagi setiap 10 yang membuat tempahan, seorang tetamu boleh menjamu selera secara percuma.

“Kami telah memperkenalkan tujuh set menu yang akan diganti pada setiap hari sepanjang Ramadan. Apabila anda melihat harga yang ditawarkan untuk promosi ini, ia tidak mahal memandangkan kepelbagaian makanan yang ditawarkan,” katanya.

Hotel ini juga menawarkan bilik makan dan solat.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan