Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Hospital Tawau wujudkan program sekolah dalam hospital

 Mary Yap (kanan) menunjukkan kertas cadangan penubuhan sekolah dalam hospital di Hospital Tawau. - foto Masani Sandan
Mary Yap (kanan) menunjukkan kertas cadangan penubuhan sekolah dalam hospital di Hospital Tawau. – foto Masani Sandan

TAWAU – Program sekolah dalam hospital akan beroperasi sepenuhnya di Hospital Tawau pada awal April depan dan ia merupakan yang kedua selepas Hospital Kanak-kanak dan Wanita Likas, Kota Kinabalu.

Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Mary Yap Kain Ching, bahawa penubuhan program berkenaan di Hospital Tawau bukan sahaja memberi manfaat kepada para pelajar terlibat agar tidak ketinggalan pelajaran tetapi juga memberi kelegaan kepada ibu bapa.

“Kita gembira kerana program ini berjaya direalisasikan di Hospital Tawau untuk kemudahan para pelajar yang menerima rawatan dan terpaksa tinggal di wad,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian replika cek penubuhan Sekolah Dalam Hospital Tawau di Hap Seng Properties Development Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Menurutnya, pelajar yang layak mengikut program ini adalah mereka yang terdiri daripada semua peringkat persekolahan bermula pra sekolah hingga menengah atas dan warganegara.

Katanya, pelajar juga perlu berdaftar sama ada mereka daripada sekolah kerajaan, swasta atau pelajar bersendirian di rumah (home schooling) dan menerima rawatan di wad lebih tiga hari.

“Pelajar juga perlu diperakukan oleh pegawai perubatan sebagai murid yang mempunyai kesediaan untuk belajar serta mendapat kebenaran dari ibu bapa atau penjaga,” ujarnya.

Tambahnya, antara mata pelajaran teras yang akan diajar dalam program berkenaan adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Teknologi, Matematik dan lain-lain subjek atas pilihan dan ko-kurikulum.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tawau berharap, lebih banyak lagi pihak yang tampil menyalurkan sumbangan dalam bersama-sama membantu menjayakan pembangunan untuk masyarakat.

“Sebenarnya kos keseluruhan untuk menubuhkan program ini berjumlah RM270,000 dan setakat ini kita telah mendapat tajaan sebanyak RM150,000 hasil daripada insiatif syarikat korporat dan swasta,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Tawau, Dr. Norlimah Arsat berkata, dengan wujudnya program berkenaan, ia akan membantu ramai pelajar yang mendapatkan rawatan di hospital tersebut.

“Program ini sangat membantu berikutan jumlah pertambahan pesakit kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah menunjukkan peningkatan daripada seramai 3,431 orang pada 2013 kepada 3,721 orang pada tahun lepas,” katanya. – oleh Masani Sandan / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan