Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,695

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Hospital Nukleus Labuan Bakal Dinaik Taraf Sebagai Hospital Pakar

4:08pm 03/12/2015 Pak Roshan 28 views Mutakhir,Tempatan,WP. Labuan

labuan

LABUAN : Hospital Nukleus Labuan bakal dinaik taraf sebagai hospital pakar utama yang dianggar membabitkan kos lebih RM100 juta, kata Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismail Ali.

Kertas cadangan projek itu akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Menurut Dr Ismail, kerja menaik taraf hospital dilaksanakan berikutan pertumbuhan pesat populasi penduduk di pulau bebas cukai itu selaras dengan status pulau tersebut sebagai pusat kewangan antarabangsa serta hab minyak dan gas.

“Kami telah hantar kertas cadangan kepada kementerian namun ia tidak termasuk dalam pelan pelaksanaan pertama di bawah RMK-11. Bagaimanapun, projek ini tidak pernah digugurkan malah kami akan hantar semula untuk perhatian kerajaan tahun depan,” katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Katanya, anggaran kos itu melibatkan pembinaan tambahan blok bangunan baharu di dalam wad kanak-kanak, dewan bedah, unit pakar pembedahan pergigian serta kerja-kerja menaik taraf Jabatan Kecemasan bagi mengurus kes bencana.

“Blok baharu itu akan memenuhi keperluan perkhidmatan pakar lain iaitu ophthalmologi; psikiatri; telinga, hidung dan tekak (ENT) serta dermatologi,” katanya.

Dr Ismail berkata hospital itu kini hanya berperanan sebagai hospital pakar minor namun sedang melalui proses kerja naik taraf kemudahan bagi memenuhi keperluan pesakit.

Beliau berkata pihaknya turut mengemukakan cadangan pembinaan tiga klinik kesihatan menjelang 2025 seiring dengan peningkatan populasi penduduk dan mengambil kira nisbah satu klinik kesihatan memberi perkhidmatan kepada 20,000 populasi di setiap negeri.

Dalam pada itu, Dr Ismail memaklumkan kerajaan memberi kelulusan kepada Jabatan Kesihatan Labuan untuk melaksanakan enam projek pembangunan melalui pelan perancangan pertama (2016-2017) RMK-11.

“Sejumlah RM57 juta peruntukan diluluskan bagi melaksanakan empat daripada enam projek itu,” katanya.

Katanya, empat projek yang akan bermula tahun depan adalah menaik taraf Klinik Desa Kg Bebuloh kepada Pusat Kesihatan Jenis 4 bernilai RM20 juta, pembinaan kuarters kakitangan Jabatan Kesihatan Labuan (RM35 juta), menaik taraf bumbung dan lif Hospital Labuan yang masing-masing dengan kos RM1 juta.

Dr Ismail berkata dua projek di bawah RMK10 akan diteruskan di bawah RMK-11 iaitu menaik taraf Klinik Desa Rancha-Rancha serta Klinik Desa Batu Manikar termasuk pembinaan kuarters kakitangan dan dijangka siap Januari tahun depan.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan