Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Hospital Labuan Lakukan Penambahbaikan Besar-Besaran – Pengarah Kesihatan

2:54pm 26/05/2016 Pak Roshan 20 views Mutakhir,Tempatan,WP. Labuan

hospital

LABUAN : Hospital Nukleus Labuan menambah baik perkhidmatannya dengan menyediakan kemudahan, peralatan dan pakar tambahan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismail Ali berkata penambahbaikan itu dilakukan susulan saranan kerajaan agar ia meningkatkan standard perkhidmatan penjagaan perubatannya untuk memenuhi keperluan pesakit.

“Kami telah menambah baik perkhidmatan kami dalam tempoh dua tahun lepas dengan menambah kemudahan penjagaan perubatan dan pakar, dan kami tidak boleh berpuas hati dengan apa yang kami ada sekarang, tetapi terus menambah baik kemudahan bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah,” katanya pada sesi dialog bersama media di Hospital Nukleus Labuan hari ini.

Menurut beliau, hospital itu kini mempunyai sembilan pegawai perubatan pakar yang berkhidmat di lapan unit pakar utama seperti dalam bidang Anestesiologi, Ortopedik, Radiologi, Pediatrik, Kecemasan dan Trauma, Perubatan (dua pakar), Obstetriks dan Ginekologi dan Pembedahan Umum.

Hospital itu juga kini dilengkapi alat pengimbas CT, 26 mesin hemodialisis, mesin ujian stres, ekokardiogram, ultrasound, peralatan pembedahan otak, ventilator untuk kanak-kanak, bronkoskop, kolonoskopi, funduscope (alat untuk memeriksa struktur dalaman mata), pleuroskop (untuk mendiagnos dan terapi bagi pleural effusions), mesin Holter (peranti untuk mengesan degupan jantung), kopolskopi, inkubator (bagi kanak-kanak pramatang), alat pemanas bayi dan ujian fungsi paru-paru.

Pakar radiologi hospital itu, Dr Zaharuddin Harun, mengesahkan bahawa sejak Computed Tomography Scanner (alat pengimbas CT) dipasang di hospital itu pada pertengahan 2014, sebanyak 780 pesakit menjalani ujian imbasan CT setakat ini pada tahun ini, berbanding kira-kira 380 sepanjang tahun lepas.

Walaupun Hospital Nukleus Labuan merupakan sebuah hospital kecil, namun ia telah lama digunakan pesakit luar kawasan (ekspatriat) dan pesakit dari luar Labuan seperti Lawas dan Limbang, Sarawak, Sipitang, Menumbok dan Beaufort, Sabah kerana ia mempunyai kemudahan seperti pengimbas CT, ekokardiogram dan mesin ujian stres.

Pakar perubatan, Dr Vinoth Kasi Rajan pula mengesahkan bahawa sejumlah 443 pesakit menjalani ujian gema sepanjang tahun lepas. (Ujian gema dilakukan untuk memeriksa struktur jantung dan mengesan sejauh mana jantung berfungsi).

Pengarah Hospital Nukleus Labuan Dr Adnan Musa Balidran berkata hospital itu berfungsi seiring dengan keperluan semasa dan masa akan datang.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan