Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,659

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Hormati Perbezaan dalam Kepelbagaian

9:35pm 29/12/2015 Ann Vivien 170 views Rencana,Tempatan
Perhimpunan ahli keluarga Senioi-Palalun

Perhimpunan ahli keluarga Senioi-Palalun

SEMUANYA bermula dengan misi kemanusiaan yang digerakkan oleh kakak sahabat saya, Elizabeth yang juga seorang nun, apabila berlaku gempa bumi di Ranau Sabah pada Jun 2015. Apabila diketahui destinasi misi tersebut ke Kampung Kaung, Sainah, ibu sahabat saya meminta anaknya menghubungi sepupunya di kampung tersebut.

Pertemuan dengan bapa saudara yang tidak pernah ditemui sebelum ini, dirasakan membuka satu fasa baharu dalam pengukuhan institusi kekeluargaan. Beliau merasakan sesuatu harus dilakukan dan sekiranya tidak dilaksanakan apa-apa, semangat kekeluargaan mereka semakin renggang dan hilang. Bapa saudaranya meminta Elizabeth menghubungi anaknya Gabriel di Lahad Datu.

Daripada pertemuan pertama kali dengan saudaranya itu, bermulalah inisiatif penganjuran perhimpunan ahli keluarga atau reunion empat generasi merangkumi peringkat ibu bapa, anak, cucu dan cicit. Mereka berasa bertanggungjawab, keluarga besar Senioi-Palalun Banda harus dipertemu dan dipereratkan kembali.

Reunion berskala besar itu adalah untuk menghimpunkan kerabat keturunan dua beradik Senioi dan Palalun Banda. Keluarga ini adalah daripada suku Dusun, salah satu etnik di Sabah. Peranan Elizabeth dan Gabriel yang dilantik pengerusi penganjur telah menjadikan hasrat mereka sebagai realiti.

Sesuatu yang menarik dalam keluarga besar ini ialah wujudnya kepelbagaian kaum termasuk dari Semenanjung menerusi perkahwinan. Sebahagiannya beragama  Islam dan sebahagiannya Kristian. Hanya di Sabah (mungkin di Sarawak juga), kita menemui komposisi yang sedemikian. Mereka berlainan agama tetapi hidup dalam keadaan harmoni dan saling menghormati.

Ternyata kegembiraan dan kemeriahan mewarnai majlis pada 19 Disember 2015 yang dihadiri 130 orang itu. Sama ada orang dewasa apatah lagi kanak-kanak. Mereka saling bertanya khabar dan berkenalan antara satu sama lain. Mereka makan dan minum serta berinteraksi penuh kemesraan.

Sainah, anak kepada Senioi, mempunyai 10 anak, ahli keluarga tertua berusia 90 tahun, namun kesihatannya masih baik dan cergas. Menerusi ucapannya dalam bahasa Dusun, Sainah mengatakan pada sepanjang usianya, inilah pertama kali majlis  yang menghimpunkan hampir seluruh ahli keluarganya diadakan. Walaupun tidak dapat mengenali semuanya, beliau berasa sangat gembira dan berharap hubungan kekeluargaan dapat diperteguhkan lagi.

Beliau yang beragama Kristian turut merakamkan penghargaan kepada semua anaknya sama ada yang beragama Kristian mahupun Islam. Walaupun tidak seagama, anak-anaknya yang beragama Islam telah melaksanakan tanggungjawab sebagai anak dengan sempurna. Tidak pernah merungut menjaga kebajikan beliau, seorang ibu yang sudah tua.

Benjamin daripada jalur keturunan Palalun Banda yang berucap mewakili keluarga, menyebutkan uniknya keluarga Senioi-Palalun Banda. Walaupun wujud perbezaan anutan agama, namun masing-masing memahami dan menghormatinya. Malah boleh duduk semeja membincangkan apa sahaja, berbual dan berjenaka bersama.

Demikianlah berwarna warninya kehidupan di Sabah. Kalau di tempat lain, soal Islam dan Kristian sentiasa menjadi persoalan sensitif bertahap tinggi tetapi di Sabah darjah kesensitifannya tidaklah meruncing.

Kini masyarakat semakin memahami prinsip dan nilai Islam. Atas kefahaman tersebut, mereka lebih terbuka, saling menghormati hak masing-masing. Rumah yang didiami, tidak menjadi ruang perbalahan kerana menaungi penganut agama yang berlainan sebaliknya menjadi wadah  toleransi walaupun terdapat perbezaan di sana sini.

Berinteraksi dengan ahli keluarga yang beragama Islam, melenturkan tanggapan terhadap agama itu walaupun pelbagai media sentiasa mengasak untuk menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan menerusi gambaran negatif yang dipaparkan. Kini mereka lebih berempati, kerana pengalaman dalam rumah sendiri tidaklah begitu, malah bertentangan dengan gambaran yang disogokkan dalam kerangka meresahkan masyarakat menerusi agenda Islamophobia.

Bagi sahabat saya, yang beliau turut terlibat sebagai penganjur, reunion tersebut amat bermakna dan signifikan kepada dirinya secara peribadi. Pengalaman lalu banyak mengajar keluarga dan masyarakatnya untuk lebih memahami, mengerti dan menghormati perbezaan dalam beragama.

Begitu banyak pengajaran yang muncul dan harus dimanfaatkan. Keinsafan yang timbul kepada semua pihak adalah betapa pendidikan, saling mempelajari, menghormati, tidak mencurigai adalah ramuan utama mewujudkan keutuhan dan kesepaduan dalam masyarakat. Peranan pemimpin dan media massa untuk mengadvokasi keterbukaan dan toleransi amat diperlukan.

Kemajmukan kaum, agama, budaya, adat resam, norma dan nilai tidak sewajarnya menjadi faktor kerapuhan ikatan masyarakat apatah lagi dalam institusi keluarga. Sekurang-kurangnya harus disedari, mereka memiliki jalur keturunan yang sama yang tentunya lebih mengikat walaupun menganut agama  berbeza.

Seandainya semua pihak berpegang kepada prinsip, tidak ada agama yang mendorong kepada perseteruan dan permusuhan sebaliknya menganjur kepada hidup berkasih sayang, dilandasi penghormatan terhadap nilai kemanusiaan dan perbezaan dalam kepelbagaian, pastinya semua orang berasa tenang, selamat dan bebas di atas muka bumi ini untuk mencipta perdamaian, memakmurkan alam sejagat.

Penulis merupakan Timbalan Pengarah  Kanan  di Jabatan Canselori UKM, Abdul Razak Hussin. -SayangSabah

 

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan