Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

HORMATI KEPUTUSAN MAJORITI: CHRISTINA

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima cenderahati daripada Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew selepas Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Sabah di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Semua pihak diminta menghormati keputusan majoriti anggota PKR sebaik sahaja selesai pemilihan diperingkat Cabang dan Pusat yang akan diadakan pada 23 dan 24 Oktober ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew berkata, sudah tiba masanya untuk anggota PKR yang berjaya dalam pemilihan itu untuk bersatu dan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Christina berkata, beliau berharap semua anggota PKR yang telah menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan dapat menunjukkan komitmen perjuangan sebenar selama tempoh berkempen.

“Perlu diingat bahawa pemilihan parti ini adalah ibarat pemilihan dalam menentukan ketua dalam satu rumah yang melibatkan satu keluarga dan sudah pasti ini sangat penting untuk kita memilih siapa di antara kita yang lebih layak mengetuai rumah tersebut untuk menjadi pemacu kepada kita agar kebajikan kita dapat dijaga.

“Begitu juga dalam konteks pemilihan parti PKR. Selepas sahaja selesai pemilhan ini, marilah bersama-sama bersatu dan menghormati pilihan majoriti anggota PKR baik di peringkat Cabang mahupun Pusat,” katanya ketika berucap sempena Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Sabah di sini hari ini.

Sebahagian perwakilan daripada 25 cabang PKR seluruh Sabah pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Sabah di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Mesyuarat itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan turut dihadiri lebih 1,000 perwakilan daripada 25 cabang PKR seluruh negeri.

Dalam pada itu, Christina berkata, sejak mulanya kebangkitan rakyat sehingga tumbangnya Barisan Nasional (BN), PKR yang dipimpin oleh Wan Azizah telah berjaya menyatupadukan semua anggota parti itu tanpa mengira bangsa dan agama.

Jelasnya lagi, kejayaan menukar kerajaan lama iaitu BN yang memerintah selama 60 tahun merupakan satu sejarah baharu politik Malaysia kerana buat pertama kalinya kebangkitan rakyat seluruh Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Saya selaku pengerusi majlis pimpinan PKR Sabah, mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal Presiden dan Perdana Menteri kelapan tidak lama lagi. Untuk pengetahuan Dr. Wan Azizah,
semua anggota PKR Sabah tidak sabar untuk bertemu Anwar selepas kita menjadi kerajaan.

“Ini kerana, semua anggota PKR Sabah dahagakan ideologi pelaksanaan dasar-dasar memajukan negeri Sabah khususnya untuk terus mendapat pembelaan sepenuhnya daripada kerajaan yang baharu kita bentuk ini,” katanya.

Beliau menambah, kata-kata keramat yang menjadi pegangan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa PKR adalah parti yang akan membela semua kaum dan bangsa diharap mampu menjadi kenyataan. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan